KUALA LUMPUR – Sebanyak 65 kes kemudaratan dalam talian berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) diambil tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sejak 1 Januari 2023 hingga 31 Mei lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan pihaknya komited memperkukuh aspek pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kandungan berkaitan isu 3R yang membabitkan penghinaan terhadap institusi diraja.
“Ia selaras dengan usaha kerajaan untuk memelihara keharmonian masyarakat, menghormati institusi negara dan memastikan ruang digital kekal selamat serta bertanggungjawab.
“Daripada keseluruhan kes yang dikendalikan, 10 kes telah didakwa di mahkamah, lapan kes dikenakan kompaun dan 27 kes diberikan Notis Amaran, manakala 20 kes masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mengenai jumlah kes penghinaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang dikesan di media sosial serta bentuk tindakan yang diambil.
Fahmi menambah, MCMC turut mengemukakan penurunan kandungan yang mengandungi unsur jelik atau jelik melamau berkaitan isu 3R termasuk kandungan menghina institusi diraja.
Menurut beliau, hasil daripada tindakan itu, sebanyak 744 kandungan berjaya diturunkan oleh pemberi perkhidmatan.
“Tindakan ini mencerminkan kerjasama berterusan antara MCMC dan pemberi perkhidmatan dalam memastikan kandungan yang melanggar undang-undang serta garis panduan komuniti platform dapat ditangani dengan sewajarnya demi mengekalkan keharmonian dan ketenteraman awam.
“MCMC turut menyiasat aduan yang diterima dan menyediakan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi pertimbangan serta keputusan berkaitan tindakan lanjut, termasuk pendakwaan,” katanya. – MalaysiaGazette















