Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke 13 (RMK13) pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 28 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Had kelayakan diesel bersubsidi sehingga 300 liter sebulan di bawah program Budi Madani mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau menjelaskan, ini kerana data penggunaan diesel Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan 95 peratus pengguna diesel di Malaysia menggunakan kurang daripada jumlah itu setiap bulan.

Menurut beliau, lebih 80 peratus pengguna diesel pula merekodkan penggunaan di bawah 200 liter sebulan dengan purata penggunaan sekitar 140 liter.

“Namun kerajaan memahami bahawa majoriti pemilik kenderaan diesel terdiri daripada pengguna kenderaan utiliti sukan (SUV), jip dan pikap yang digunakan sebagai pengangkutan utama bagi peniaga kecil serta penduduk di kawasan pedalaman.

“Atas pertimbangan itu, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan sebanyak 100 liter di bawah Budi Madani Diesel yang boleh dimohon oleh individu yang layak, menjadikan jumlah keseluruhan kelayakan sehingga 300 liter sebulan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berkenaan rasional di sebalik pengumuman kerajaan yang menyeragamkan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api dengan diesel yang kini turut menggunakan MyKad.

Hasni turut membangkitkan sama ada kelayakan 200 liter bagi kedua-dua bahan api mencukupi untuk kegunaan rakyat.

Amir Hamzah menambah, pembaharuan subsidi dijangka menjimatkan perbelanjaan subsidi kerajaan sebanyak RM2 bilion setahun, sekali gus membolehkan sebahagian daripada penjimatan itu disalurkan semula kepada rakyat menerusi penurunan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.

Menurutnya, penggunaan mekanisme MyKad turut memastikan subsidi hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia, sekali gus menutup ruang ketirisan yang menyebabkan pembaziran wang rakyat serta bekalan bahan api negara.

“Pada saat dunia berdepan ketidaktentuan dan risiko gangguan bekalan tenaga, kerajaan mahu memastikan bekalan diesel kekal mencukupi dalam pasaran domestik serta rakyat terus menikmati bahan api itu pada harga bersubsidi.

“Pembaharuan ini bukan sahaja menutup ketirisan dan menjamin bekalan ketika krisis, malah memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati keistimewaan subsidi yang disediakan kerajaan,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel bersubsidi di seluruh negara ditetapkan pada RM2.10 seliter, termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sebelum ini menikmati harga RM2.15 seliter.

Sementara itu, berdasarkan data penggunaan sebenar program BUDI RON95 sejak Oktober 2025 hingga Mei lalu, Amir Hamzah memaklumkan kurang daripada satu peratus menggunakan melebihi 200 liter RON95 secara konsisten setiap bulan.

“Ini bermakna lebih 99 peratus pengguna BUDI95 merekodkan penggunaan bulanan RON95 pada atau di bawah paras 200 liter,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast