[ARKIB] Ahli Ikram, Fakhrudin Abd Karim didakwa atas 158 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana awam berprofil tinggi hasil siasatan menerusi Ops Sutra di Mahkamah Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 Jun 2026.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang sebelum ini didakwa atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM17.9 juta, antara 2021 hingga 2025.

Fakhrudin Abd Karim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan  dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

“Faham pertuduhan, mohon bicara,” kata Fakhrudin selepas pertuduhan dibacakan satu per satu.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, dia didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM10.54 juta dengan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun MAG Builders Sdn Bhd bagi pembayaran ‘Proposed Design For New Bungalow’ di Bandar Kundang, Gombak, rumah kediaman miliknya.

Fakhrudin turut didakwa atas tiga pertuduhan sama, iaitu memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.66 juta daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun kad kredit miliknya untuk pembayaran kad kredit berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Akram memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh sebelum ini telah didakwa atas 158 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama, dan tarikh sebutan telah ditetapkan pada 7 Ogos.

“Pendakwaan juga memohon untuk mahkamah mengguna pakai jaminan RM500,000 dengan dua penjamin dan syarat-syarat jaminan yang telah ditetapkan sebelum ini, iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi,” katanya.

Sivananthan yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan.

Azrul kemudian membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam serta mengguna pakai syarat-syarat jaminan sebelum ini dan menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan kes di Mahkamah Shah Alam.

Pada 16 Jun lepas, Fakhrudin mengaku tidak bersalah atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah lebih RM98 juta antara 2021 hingga 2025.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast