Peguam yang mewakili Albert Tei, Mahajoth Singh bercakap kepada wartawan ketika menunggu permohonan reman terhadap seorang ahli perniagaan Albert Tei dan Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Majistret Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 29 NOVEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing telah memfailkan Memorandum Kehadiran di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi mempertahankan diri dalam saman fitnah yang difailkan oleh Tan Sri Azam Baki terhadapnya dengan pengurusan kes pertama ditetapkan menerusi e-Review pada 8 Julai depan.

Firma guaman Mahajoth Singh dan Zaid Malek yang mewakili Albert Tei memaklumkan, writ saman dan pernyataan tuntutan telah diserahkan kepada anak guam mereka pada 11 Jun lepas.

Menurut firma itu, Memorandum Kehadiran bagi pihak Albert Tei telah difailkan hari ini sebagai langkah rasmi dalam prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

“Perkara ini telah ditetapkan untuk Pengurusan Kes melalui e-Review pada 8 Julai 2026,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, Albert Tei menyambut baik peluang untuk mengemukakan keterangan yang berkaitan di hadapan mahkamah serta yakin kes berkenaan akan diputuskan berdasarkan merit, selaras dengan fakta, keterangan dan undang-undang yang terpakai.

Sebelum ini, Azam yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan prosiding fitnah terhadap Albert Tei di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Firma guaman Mahajoth Singh dan Zaid Malek berkata, pihaknya akan terus mewakili Albert Tei sepanjang prosiding tersebut berlangsung. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast