Jurucakap Kumpulan yang juga ADUN Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bercakap pada Sidang media tergempar ADUN-ADUN, Ketua-Ketua Bahagian serta Pimpinan Bahagian dalam kalangan golongan orang muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di ANJUM KLCC, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 25 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Kepimpinan utama anak muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan pendekatan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap Bersatu sebagai politik ‘dinosaur’ yang tidak lagi mencerminkan semangat penyatuan dalam kalangan parti pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kenyataan Hamzah yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) adalah sesuatu yang mengecewakan, khususnya kepada generasi muda.

“Mungkin itu politik orang tua, politik ‘dinosaur’. Kalau itu politik ‘dinosaur’, saya nak jawab kepada Datuk Seri Hamzah, ia adalah satu perkara yang memalukan bagi kamu.

“Kami berasa sedih sebagai golongan anak muda melihat Datuk Seri Hamzah.

“Dia tiada locus standi, itu saya cakap. Lebih baik dia selesaikan hal dia dulu mengenai parti baharunya. Kami sebagai anak muda mahu menunjukkan politik yang mempunyai nilai.

“Kalau dia sebagai orang tua, bapa-bapa kami nak tunjuk contoh yang buruk, teruskan. Sebab anak muda akan tengok pemimpin-pemimpin masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hamzah yang dilaporkan berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada Bersatu wajar dianggap sebagai rakan atau seteru dalam PN.

Mengulas lanjut, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, budaya saling menyerang sesama parti pembangkang hanya akan mengalih perhatian daripada isu sebenar yang sedang dihadapi rakyat.

Katanya, anak muda Bersatu mahu membawa pendekatan politik lebih matang dengan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan keadaan ekonomi.

“Rakyat tidak mahu melihat pemimpin terus berbalah sesama sendiri. Mereka mahukan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi setiap hari,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Bersatu akan terus kekal bersama PN serta menghormati setiap keputusan yang dipersetujui dalam gabungan itu.

Menurutnya, Bersatu merupakan antara parti pengasas PN dan komited untuk terus memperkukuhkan gabungan berkenaan demi kepentingan rakyat.

“Komitmen kami terhadap PN tidak berubah. Apa juga keputusan yang dipersetujui bersama akan terus kami hormati,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast