KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di ibu kota mengalami banjir kilat dan kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan ribut petang tadi.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas teruk adalah di Taman Dato Keramat di sini, apabila beberapa pokok bersaiz besar dilaporkan tumbang dan menghalang sepenuhnya laluan kedua-dua arah di kawasan itu.
Beberapa kawasan lain termasuk di sekitar Jalan Ampang turut menyaksikan kejadian pokok tumbang dengan ada yang menjejaskan kediaman penduduk.
Selain itu, banjir kilat turut dilaporkan berlaku berhampiran susur ke Pavillion menghala ke Jalan Raja Chulan sekali gus menyebabkan kesesakan di lokasi terbabit.
Hujan lebat berserta ribut melanda ibu kota kira-kira pukul 4 petang tadi dan berlarutan hampir dua jam.
Setakat ini, belum ada laporan melibatkan mangsa susulan bencana tersebut. – MalaysiaGazette















