Kor Ming (dua kanan) dan Kartiyaini (kanan) menyantuni penduduk pada Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026 di Flat Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan calon ‘tangkap muat’ tetapi berwibawa dan berpengalaman.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming berkata, setiap calon yang dipilih sudah melalui pelbagai tapisan bagi memastikan mempunyai latar belakang yang baik dan rekod perkhidmatan yang baik diketengahkan kepada rakyat.

“Kita sebenarnya tidak memilih calon secara sembarangan. Kita hanya pilih calon yang berwibawa dan memang telah lama berkhidmat di kawasan tersebut.

“Calon-calon ini telah melalui pelbagai tapisan dan yang penting kita mahu menawarkan yang terbaik kepada Bangsa Johor kerana kita sayang Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Flat Taman Ungku Tun Aminah di sini hari ini.

Turut hadir calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Kartiyaini Jeyapalan.

Selasa lalu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai penuh calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN Johor ke-16.

Mengulas mengenai calon PH bagi kerusi Skudai, Kor Ming berkata, Kartiyaini bukan muka baharu dalam khidmat masyarakat walaupun pertama kali dipilih menjadi calon di tempat kelahirannya.

“Beliau telah berkhidmat lebih 10 tahun di kawasan ini sebelum diberikan peluang untuk bertanding. Kita yakin beliau mampu membawa suara rakyat dan menjadi jambatan yang berkesan antara masyarakat setempat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, PH yang menawarkan agenda perpaduan dan keharmonian kepada rakyat Johor akan menjadi pilihan pengundi agar selari dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau yakin rakyat negeri itu akan membuat pilihan terbaik demi kepentingan negeri dan negara serta terus mempertahankan sistem demokrasi melalui penyertaan aktif dalam proses pilihan raya.

“Saya menyeru rakyat Johor termasuk mereka yang bekerja di Singapura supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari pengundian nanti.

“Kita mahu memilih kemakmuran, perpaduan dan keharmonian supaya Johor serta Malaysia terus maju dan kesejahteraan rakyat dapat dipelihara. Kita mahu menawarkan yang terbaik kepada Bangsa Johor kerana kita sayang Johor,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast