KUALA LUMPUR – Dakwaan berhubung terlebih nilai dan penyelewengan kewangan dalam projek pembangunan Stesen Janakuasa Battersea di London adalah tidak berasas dan tiada keperluan untuk siasatan lanjut.
Kementerian Kewangan berkata, ia berdasarkan dua laporan siasatan forensik bebas oleh juruaudit forensik bebas, Evelyn Partners yang menjalankan semakan terhadap perkara yang dibangkitkan berhubung laporan kewangan projek milik syarikat Battersea Project Holding Company.
“Selain itu, akaun syarikat juga telah diaudit dan disahkan oleh PwC, salah sebuah daripada empat firma perakaunan terbesar,” kata kementerian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen di sini hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai sama ada juruaudit forensik bebas telah dilantik bagi menyiasat ketulenan laporan kewangan projek Battersea Power Station susulan dakwaan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Donagh O’Sullivan berhubung penilaian berlebihan (overvaluation) aset pelaburan terbabit.
Kementerian menambah, selaras dengan penemuan juruaudit forensik serta hasil kerja PwC sebagai juruaudit syarikat, tiada pelarasan penilaian pelaburan susulan dakwaan yang dibangkitkan bagi 2025.
“Prestasi dan penilaian pelaburan terus dipantau secara berkala selaras dengan amalan tadbir urus dan piawaian pelaporan kewangan,” katanya. – MalaysiaGazette





![PIC1[19806]](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2024/02/PIC119806-681x454.jpg)










