KUALA LUMPUR – Isu obesiti dan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan apabila statistik menunjukkan hampir separuh rakyat negara ini berada dalam kategori obesiti atau hampir obesiti.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, gaya hidup tidak sihat yang diamalkan sebahagian masyarakat hari ini menjadi antara faktor utama peningkatan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
“Di Kelantan ini, antara negeri yang tinggi pesakit diabetes dan boleh dikatakan separuh rakyat Malaysia mengalami obesiti atau hampir obesiti.
“Hanya tiga daripada 10 orang rakyat Malaysia yang bersenam dan kita banyak memperuntukkan wang untuk merawat penyakit tidak berjangkit.
“Penyakit ini berlaku kerana kita sendiri tidak menjaga pemakanan, makan lewat malam dan tidak mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya ketika merasmikan program Mache Kita Bersama Komuniti 2026 yang berlangsung di Bandar Seri Mentara, Machang, Kelantan, baru-baru ini.
Menurut Hilmi, perubahan gaya hidup perlu dilakukan segera bagi mengelakkan lebih ramai rakyat berdepan masalah kesihatan yang serius pada masa hadapan.
Menurutnya, berdasarkan saranan pihak kesihatan, seseorang individu digalakkan berjalan sehingga 12,000 langkah atau kira-kira enam kilometer sehari bagi membantu mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
“Dengan amalan ini, kita dapat mengurangkan berat badan dan mengurangkan kolesterol di mana harapan saya, program ini boleh menggalakkan kita semua menjalani kehidupan yang lebih sihat.
“Dalam masa sama, program seperti ini perlu diteruskan di kampung dan komuniti masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Machang, Mohd Zamri Ibrahim berkata, aktiviti brisk walk atau berjalan pantas sebenarnya boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Namun katanya, ramai yang masih memberikan alasan sibuk sehingga mengabaikan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.
“Sebenarnya brisk walk ini bergantung kepada individu. Ada yang memberi alasan sibuk atau tidak sempat melakukannya.
“Namun kita sepatutnya cuba memberi komitmen dan sentiasa mencari ruang untuk melakukan aktiviti fizikal sebegitu.
“Seperti saya sendiri masih bermain bola dan melakukan aktiviti fizikal lain,” katanya.
Beliau turut berharap budaya berjalan kaki bersama keluarga pada waktu malam dapat dipupuk kerana bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah berpotensi merancakkan ekonomi setempat.
“Dalam usaha kita menggalakkan orang ramai melakukan brisk walk bersama keluarga pada waktu malam, kita berharap aktiviti seperti ini dapat menyokong premis-premis perniagaan agar lebih maju,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Al Farhain Medical Centre, Dr Afif Mohd Ridzwan menjelaskan bahawa brisk walk sering dikaitkan dengan konsep defisit kalori iaitu keadaan apabila jumlah kalori yang dibakar lebih tinggi daripada kalori yang diambil melalui makanan.
Menurut beliau, apabila keadaan tersebut berlaku secara konsisten, tubuh akan menggunakan simpanan lemak sebagai sumber tenaga sekali gus membantu penurunan berat badan.
Untuk rekod, program Mache Kita Bersama Komuniti 2026 dengan slogan ‘Satu Hari, Seribu Manfaat’ dianjurkan oleh Al Farhain Medical Centre dengan kerjasama Majlis Daerah Machang dan Cek Dik Agency.
Penganjuran program yang menghimpunkan hampir 5,000 pengunjung ini turut memperlihatkan bagaimana aktiviti komuniti mampu menjadi medium terbaik untuk menyatukan masyarakat sambil menyemai budaya hidup sihat. – MalaysiaGazette
















