MELAKA – Penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel di Kilometer 198 Lebuhraya Plus arah utara di sini pagi tadi mencetuskan misteri apabila polis masih belum dapat memastikan sama ada mangsa maut akibat kemalangan atau mangsa pembunuhan.
Mayat lelaki yang ditemukan tanpa memakai baju dengan seluarnya pula terlondeh sedikit ketika dijumpai orang awam di lokasi kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat berkenaan sebelum anggota polis dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar
“Mayat lelaki tanpa identiti dipercayai warga tempatan telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Ketika ini kita masih menyiasat sama ada kejadian itu berpunca daripada kemalangan ataupun terdapat unsur jenayah seperti kes bunuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kejayaan menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Ahmad Zamry Marinsah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan Eu Kee Long dan Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas.
Tambah Dzulkhairi, identiti mangsa masih dalam proses dikenal pasti dan polis turut menyiasat latar belakang mangsa bagi membantu siasatan.
“Setakat ini kita belum dapat mengesahkan maklumat lanjut namun mangsa disyaki warga tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette
















