KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan segera menyediakan satu bentuk dokumen pengenalan diri khusus kepada golongan stateless di Sabah bagi mengelakkan kelompok itu terus terpinggir hingga berpotensi menjadi ancaman sosial jangka panjang kepada negara.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, golongan berkenaan tidak menuntut hak kewarganegaraan mahupun hak mengundi, sebaliknya hanya memohon satu bentuk identiti rasmi yang membolehkan mereka menjalani kehidupan sebagai manusia yang diiktiraf di negara ini.
Menurutnya, ramai dalam kalangan mereka dilahirkan dan membesar di Malaysia, malah tidak mempunyai negara lain untuk dituju kerana tidak diterima oleh negara asal ibu bapa mereka.
“Realitinya, mereka sudah berada di sini dan kampung halaman mereka juga di sini. Ada yang cuba dihantar pulang tetapi negara asal pun tidak mahu menerima mereka.
“Jadi, mahu atau tidak, kita perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah sebahagian daripada masyarakat yang tinggal di negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan belum bersedia memberikan kad pengenalan merah atau sebarang status lain, sekurang-kurangnya satu dokumen pengenalan diri perlu diwujudkan bagi memastikan mereka tidak terus hidup tanpa identiti.
“Kalau kita tidak boleh beri IC merah, janganlah sampai tidak beri apa-apa langsung. Berilah satu dokumen identiti yang sesuai untuk mereka.
“Tidak masuk akal apabila manusia yang tinggal di negara ini langsung tidak mempunyai sebarang identiti rasmi sedangkan pelbagai perkara lain mempunyai sistem pengenalan tersendiri,” ujarnya.
Hishamuddin berkata, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya boleh menjadi lebih serius dalam tempoh jangka panjang.
Beliau berkata, ketiadaan akses pendidikan kepada kanak-kanak stateless boleh menyebabkan mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif.
“Bayangkan jika terdapat sehingga sejuta individu stateless di Malaysia dan sebahagian besar daripada mereka tidak berpeluang ke sekolah.
“Apabila mereka membesar tanpa pendidikan, tanpa hala tuju dan tanpa sokongan sistem yang sepatutnya, mereka mudah dipengaruhi oleh pihak-pihak yang mempunyai niat tidak baik,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung boleh mewujudkan risiko keselamatan dan masalah sosial yang lebih besar kepada negara pada masa hadapan.
“Sebenarnya, lebih berbahaya jika mereka terus dibiarkan tanpa pendidikan dan tanpa identiti.
“Kalau mereka tidak pergi sekolah, tidak mendapat pendedahan yang betul dan tiada masa depan yang jelas, mereka lebih mudah terdedah kepada eksploitasi pihak tertentu,” katanya lagi.
Hishamuddin turut menegaskan pendekatan menafikan kewujudan golongan berkenaan bukanlah penyelesaian yang wajar.
Sebaliknya, katanya, kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih bersifat kemanusiaan bagi memastikan mereka dapat hidup secara bermaruah tanpa menjejaskan kepentingan negara.
“Ini bukan soal mereka meminta hak politik atau menuntut untuk mengundi. Mereka cuma mahu hidup sebagai manusia yang diiktiraf kewujudannya, selain memastikan anak-anak mereka dapat bersekolah dan membina masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan satu mekanisme khusus bagi menangani isu stateless di Sabah yang disifatkan telah berlarutan sejak sekian lama.
“Kalau kita terus biarkan mereka hidup tanpa identiti, kita sebenarnya sedang mewujudkan satu kelompok masyarakat yang tidak mempunyai tempat dalam sistem negara.
“Keadaan itu bukan sahaja tidak adil kepada mereka, malah boleh memberi implikasi besar kepada negara pada masa hadapan,” katanya. -MalaysiaGazette















