Konsert Tradisional Gema Bumantara akan berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober ini,

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan berita gembira buat peminatnya apabila dia bakal mengadakan Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Oktober depan.

Pengumuman dibuat menerusi perkongsian di Instagram miliknya di mana penghibur berusia 47 tahun itu menyifatkan konsert itu sebagai hadiah istimewa buat peminatnya.

Selain itu kata pelantun lagu Cindai itu, dia juga mahu meraikan dan mengangkat semula keindahan muzik tradisional agar terus kekal relevan merentas generasi.

“Sebenarnya hari ini saya mahu kongsikan satu berita istimewa. Saya ingin umumkan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang akan berlangsung di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober.

“Harap semua gembira dan apabila tiket mula dijual nanti, jangan lupa dapatkan. Kita raikan bersama irama tradisional menerusi Gema Bumantara,” katanya dalam sesi siaran langsung apabila beliau menghiburkan peminat menerusi lagu Joget Berhibur.

Katanya, irama tradisional mempunyai nilai warisan yang perlu terus dipelihara dan diraikan oleh generasi kini serta akan datang.

“Jangan lepaskan peluang untuk kita sama-sama meraikan irama warisan kita. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, selamanya menjadi nadi dalam suara tradisi zaman berzaman,” katanya.

Pada 10 Januari lalu, Siti melakar sejarah apabila Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza berjaya menghimpunkan kira-kira 65,000 peminat di Stadium Nasional Bukit Jalil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast