Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjun dari sebuah jejambat ketika cuba melarikan diri selepas kereta dinaikinya bersama dua lagi suspek dikejar polis di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam kejadian itu, dua lagi rakan lelaki terbabit berjaya diberkas polis selepas ketiga-tiga suspek enggan memberhentikan kenderaan yang dinaiki ketika diarahkan berbuat demikian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian berlaku ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) sedang menjalankan tugas pencegahan jenayah serta pemeriksaan kenderaan.

Menurutnya, kenderaan suspek akhirnya berjaya dipintas di kawasan Pantai Sentral sebelum polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

“Seorang lagi suspek disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah apabila dipercayai terjun dari jejambat ketika cuba meloloskan diri daripada ditahan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek dan kenderaan terbabit menemukan beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah curi serta penyalahgunaan dadah.

Katanya, semakan rekod turut mendapati kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang daripada mereka juga dikehendaki polis bagi kesalahan berkaitan dadah.

“Seorang suspek direman selama lima hari sehingga 29 Jun ini, manakala seorang lagi direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas; Seksyen 279 Kanun Keseksaan (memandu secara melulu dan berbahaya) serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh).

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang memberikan kerjasama sepanjang insiden berkenaan dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan polis bagi mengelakkan kejadian yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Shahmee Baharudin di talian 013-3015810 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast