Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway untuk projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) termasuk mendapatkan peranan negara itu sebagai pengantara dalam tuntutan terhadap syarikat pembekal terbabit.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar telah menghantar notis serta surat rasmi kepada Kerajaan Norway bagi memaklumkan pendirian Malaysia berhubung perkara itu.

Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan membolehkan Kerajaan Norway memainkan peranan memudah cara rundingan antara Malaysia dan syarikat pembekal berkenaan supaya tuntutan yang dikemukakan kerajaan dapat diselesaikan.

“Kita memang bersedia untuk menyelesaikan perkara ini dan turut bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Sebab itu sejak awal lagi kita telah menghantar notis dan sebagainya.

“Saya percaya Kementerian Luar juga sudah menghantar surat kepada Kerajaan Norway supaya sekurang-kurangnya mereka dapat memainkan peranan sebagai pengantara antara kita dengan syarikat mereka agar syarikat itu dapat membayar tuntutan yang telah kita kemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Ketenteraan, di sini hari ini.

Terdahulu, PAC menzahirkan kegusaran serius terhadap tindakan Kerajaan Norway menarik balik dan membatalkan lesen eksport NSM yang diperuntukkan bagi projek LCS memandangkan Kerajaan Malaysia telah membuat pembayaran sehingga 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan kerana aset pertahanan yang ditempah masih gagal dihantar walaupun pembayaran hampir diselesaikan sepenuhnya.

Pada Mei lalu, Mohamed Khaled menegaskan Malaysia akan meneruskan tindakan saman terhadap pembekal NSM yang berpangkalan di Norway susulan kegagalan syarikat itu menyerahkan aset berkenaan selepas lesen eksport dibatalkan oleh kerajaan negara tersebut.

Menurut beliau, tindakan undang-undang itu diteruskan walaupun Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik, telah menyampaikan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaan negaranya membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia.

Sebelum ini, Kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM dan sistem pelancar berkaitan kepada Malaysia atas alasan melindungi keselamatan negara berkenaan.

NSM merupakan peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak operasi melebihi 300 kilometer.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled memberi jaminan proses penyerahan kapal LCS kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita berjanji untuk membuat penyerahan mengikut tempoh yang ditetapkan dan Ketua Setiausaha Kementerian sudah pergi serta akan membuat penjelasan tidak lama lagi. Jadi kita tunggu apa yang akan dibentangkan beliau hasil pertemuan itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast