KUALA LUMPUR – Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengempur premis perniagaan yang dikendalikan warga asing serta beroperasi tanpa lesen sah dalam dua operasi penguatkuasaan intensif yang dijalankan baru-baru ini.

Operasi Bersepadu tersebut digerakkan secara bersama Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan MBDK di dua lokasi tumpuan iaitu di Lorong Kepayang dan Persiaran Pegaga, Taman Bayu Perdana.

Dalam operasi pertama yang dijalankan di Lorong Kepayang, sebanyak sembilan premis perniagaan yang melibatkan 14 aktiviti komersial telah diperiksa.

Hasil pemeriksaan mendapati 13 aktiviti perniagaan mempunyai lesen yang sah bagi tahun 2026, bagaimanapun sebuah kedai serbaneka dikesan melanggar peraturan dengan beroperasi tanpa lesen dan disita menerusi pengeluaran Borang Inventori.

Pihak MBDK turut menyerahkan tiga kompaun serta tiga Notis Niat Batal Lesen kepada wakil syarikat terbabit atas kesalahan beroperasi tanpa lesen sah, menggaji warga asing sebagai penjaga premis serta kegagalan mempamerkan lesen perniagaan.

Sementara itu, tindakan lebih drastik diambil dalam operasi kedua yang menyasarkan kawasan Persiaran Pegaga, Taman Bayu Perdana.

Pemeriksaan yang dilakukan ke atas dua buah pasar mini dan sebuah restoran mendapati hanya satu premis sahaja yang mematuhi undang-undang dengan memiliki lesen serta permit kaki lima yang sah.

Tindakan undang-undang telah dikenakan kepada premis yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Akibat gagal mematuhi syarat pelesenan, dua buah premis telah dikenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan serta-merta.

Langkah tegas ini diambil selepas premis berkenaan didapati menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah selain ketiadaan pekerja tempatan yang bertugas di kaunter pembayaran.

Pihak MBDK turut melaksanakan satu tindakan sitaan di bawah UUK 3 (1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPK) 2007.

Restoran milik warga asing turut diserbut menerusi operasi ini.

Bagi memastikan premis tersebut tidak terus beroperasi, pasukan penguatkuasa telah bertindak memasang garisan keselamatan atau tali kuning di kedua-dua pintu masuk premis berkenaan.

MBDK menegaskan operasi ini akan diteruskan secara berkala bagi memastikan semua pengusaha premis menghormati undang-undang, mengutamakan tenaga kerja tempatan, dan tidak sewenang-wenangnya menyerahkan operasi perniagaan kepada warga asing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast