BANTING – Status sebagai individu berkeperluan khas dalam spektrum autisme tidak menjadi penghalang buat Dzarif Irqin Dzuldzaimy untuk melakar masa depan apabila memilih bidang Sijil Animasi 2D di Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL).
Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Seri Kembangan itu menunjukkan minat mendalam dalam seni lukisan doodle sejak berusia enam tahun, sekali gus menjadi asas kepada kecenderungannya dalam bidang kreatif dan animasi.
Ibunya, Rahayu Binti Ruzli, yang bekerja sendiri dan berniaga berkata, minat mendalam Irqin terhadap dunia animasi mendorong anaknya membuat permohonan kemasukan melalui sistem UPU secara dalam talian sebelum berjaya ditawarkan tempat di KKKL.
Menurut Rahayu, dia tidak menyangka anaknya mampu berdikari dan menguruskan diri sendiri jauh daripada keluarga, namun sokongan serta bimbingan pihak KKKL memberi keyakinan bahawa Irqin mampu menyesuaikan diri dalam suasana pembelajaran baharu.
“Sebagai seorang ibu, saya berharap Irqin dapat mengikuti proses pembelajaran dengan baik dan terus mengembangkan bakat yang ada pada dirinya.
“Saya amat berterima kasih kepada pihak Kolej Komuniti Kuala Langat kerana membuka ruang dan memberi peluang kepada anak saya menyambung pengajian,” katanya.
Kisah inspirasi Irqin turut mendapat perhatian sempena kunjungan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim ke KKKL dalam program bersama pelajar baharu Sesi I 2026/2027.
Irqin menjadi antara pelajar yang menerima kad matrik sebagai simbolik permulaan perjalanan sebagai warga KKKL, sekali gus membuktikan pendidikan TVET bersifat inklusif dan memberi peluang kepada semua golongan menggilap potensi diri.
Lawatan itu turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri bin Abdullah serta Penasihat Kolej Komuniti Kuala Langat, Datuk Zurihan bin Hj Yusop.
Dalam amanatnya, Aminuddin menyeru pelajar baharu supaya merebut peluang pendidikan TVET bagi meningkatkan kemahiran, membina keyakinan diri dan mencipta masa depan lebih cerah.
Kunjungan itu mencerminkan komitmen KPT dalam memperkasa pendidikan TVET inklusif agar setiap individu diberi ruang untuk berjaya berdasarkan bakat dan kemampuan masing-masing. – MalaysiaGazette
















