Tertuduh, Saifol Nizam Mat Zin, 49, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis selepas mengaku atas 146 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM183,500 antara tahun 2022 hingga 2023. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JUN 2026.

IPOH – Seorang penolong jurutera di Bahagian Pembangunan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kerian dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis atas 146 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM183,500 antara tahun 2022 hingga 2023.

Tertuduh, Saifol Nizam Mat Zin, 49 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menerima barang berharga tanpa balasan iaitu wang tunai yang dimasukkan seorang individu sama diketahui mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi ke dalam akaun bank yang kemudian dikeluarkan secara ‘cash withdrawal’ atau tunai oleh tertuduh.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara 3 Januari 2022 hingga 11 Oktober 2023 di sekitar daerah Kerian.

Justeru tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali menawarkan jaminan berjumlah RM146,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau turut menawarkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri di pejabat SPRM sekali pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh, Saifol Nizam Mat Zin, 49, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, pada Khamis atas 146 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM183,500 antara tahun 2022 hingga 2023. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 25 JUN 2026.

Bagaimanapun, Peguam P Ravee yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan ditawarkan dikurangkan atas alasan tertuduh perlu menyara tiga orang anaknya yang masih bersekolah selain menanggung bayaran ansuran rumah dan kereta dengan pendapatan RM6,000 sebulan.

Justeru kata beliau, jumlah jaminan sebanyak RM146,000 yang ditawarkan adalah di luar pada kadar kemampuan tertuduh yang kini telah dipindahkan tugas ke Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak di Ipoh.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi semua 146 pertuduhan selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM di Ipoh pada hari Jumaat minggu pertama setiap bulan.

Tertuduh juga perlu diarahkan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, di samping tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast