Gambar PDRM

KUALA LUMPUR – Satu kemalangan maut melibatkan sebuah kereta dan dua buah motosikal di Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) dari arah Setiawangsa menghala ke Sungai Besi di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 4.40 petang, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa.

“Siasatan awal mendapati sebuah Proton X50 yang dipandu oleh seorang wanita tempatan berbangsa Cina berusia 21 tahun dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar dua buah motosikal yang sedang berteduh di bawah jejambat.

“Akibat kemalangan tersebut, seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berbangsa Melayu berusia 31 tahun telah tercampak dan jatuh kira-kira 30 meter ke bawah jejambat serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Zamzuri, seorang lagi penunggang motosikal lelaki tempatan berbangsa Melayu berusia 18 tahun dan pembonceng lelaki tempatan berbangsa Melayu berusia 18 tahun mengalami kecederaan di bahagian muka dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Pemandu motokar tidak mengalami kecederaan. Ujian saringan alkohol mendapati bacaan negatif dan pemandu telah ditahan bagi membantu siasatan serta dibawa ke IPD Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast