MUAR – Pertama kali menjadi calon dan bertanding di kawasan yang mencabar tidak melemahkan semangat Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ashari Sarip bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, ini termasuk bakal berdepan pertandingan empat atau lima penjuru yang akan menjadi rebutan parti-parti lama dan baharu yang mahu mencuba nasib.
Ketua UMNO Bahagian Muar itu berkata, pihaknya menjangkakan pertembungan antara lima hingga enam penjuru di Maharani berlandaskan situasi keadaan semasa.
“Ini akan melibatkan calon BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan berkemungkinan ada calon Bebas.
“Walaupun pertama kali bertanding namun ini bukan bermakna saya tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran melibatkan masyarakat setempat.
“Pengalaman sebagai Ketua UMNO Bahagian Muar banyak memberikan saya panduan untuk bergelar sebagai wakil rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, perkara utama adalah menjunjung amanah diberikan kepimpinan tertinggi parti bagi memastikan masyarakat di Maharani sentiasa terbela dalam apa juga aspek terutama sekali kebajikan serta kelangsungan hidup rakyat.
“Secara amnya rakyat di kawasan ini perlu memilih seorang wakil rakyat yang sealiran dengan kerajaan negeri agar setiap manfaat disediakan dapat dibawa dan dinikmati mereka sepanjang masa.
“Saya percaya perkhidmatan terbaik dapat diberikan sekiranya terpilih kerana memiliki ikatan secara terus dengan kepimpinan di peringkat negeri yang semua sedia maklum tentang kejayaan dicapai sepanjang tempoh penggal sejak Mac 2022 lalu,” katanya.
Menurut Ashari, gerak kerja yang dilakukan serta usaha mendekati rakyat tanpa mengira masa serta tidak bermusim UMNO Muar seharusnya menjadi perhatian masyarakat sebagai tanda pihaknya bersedia dalam memberikan khidmat terbaik.
Ujarnya, rakyat di kawasan itu seharusnya bijak menentukan masa hadapan mereka kerana membuat pilihan yang salah akan memberikan impak dalam tempoh masa lama terutama sekali kepada pewaris masa hadapan.
“Saya dengan rendah diri mengharapkan semua penduduk di DUN Maharani memilih seorang wakil rakyat yang tepat dan mampu bekerja untuk mereka,” katanya.
DUN Maharani selama beberapa penggal merupakan kawasan disandang parti pembangkang sejak 2008 melalui Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah).- MalaysiaGazette
















