KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini melancarkan dua dokumen strategik penting iaitu Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026–2030 yang bakal menjadi panduan utama dalam memperkukuh pertahanan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dunia ketika ini berdepan perubahan yang amat pantas dalam konteks pertahanan dan keselamatan, termasuk ketidaktentuan geopolitik global, perkembangan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem automasi, serta ancaman bukan bersenjata yang semakin kompleks.
Sehubungan itu katanya, pelancaran kedua-dua dokumen tersebut merupakan detik penting serta bersejarah buat negara, khususnya MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dalam memastikan perancangan pertahanan negara kekal relevan, responsif dan adaptif terhadap cabaran semasa.

Tambah Mohamed Khaled, konflik bersenjata yang berlarutan di Asia Barat dan Ukraine turut memberi kesan langsung terhadap kestabilan global, sekali gus menuntut Malaysia menyesuaikan perancangan pertahanan negara dengan landskap keselamatan yang sentiasa berubah.
Beliau menjelaskan, perubahan tersebut diteliti menerusi Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan bagi mengenal pasti kelompongan serta membentuk perancangan pertahanan yang lebih menyeluruh.
“Daripada penelitian itu, lahirlah PSPN 2026–2030 sebagai kesinambungan dan penambahbaikan kepada Pelan Strategik MINDEF yang terdahulu,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSPN 2026-2030 dan RTKP 2026-2030, di sini hari ini.
Menurut beliau, PSPN 2026–2030 yang merangkumi 29 strategi utama dan 103 inisiatif khusus akan terus menyokong pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan melalui tujuh teras strategik utama.
Ini termasuklah memperkasakan keupayaan dan kesiagaan ATM, mengukuhkan kapasiti pertahanan yang kompeten, memelihara kesejahteraan warga kerja pertahanan, serta memperkasakan kerjasama awam-tentera menerusi konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

Selain itu, teras berkenaan turut memberi fokus kepada pembangunan sains, teknologi, inovasi dan industri pertahanan, pengukuhan hubungan pertahanan antarabangsa, serta pemerkasaan kesejahteraan Veteran ATM.
Sementara itu, RTKP 2026–2030 pula bertindak sebagai dokumen sokongan yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan modal insan pertahanan.
Rangka tindakan itu digerakkan melalui tiga teras utama, tujuh strategi, dan 18 inisiatif pelaksanaan bagi melahirkan warga kerja pertahanan yang profesional, kompeten, dan berdaya tahan.
Mohamed Khaled menegaskan, pelancaran dokumen strategik itu membawa mesej penting bahawa Malaysia komited untuk terus memperkukuh sistem pertahanan negara dalam mendepani cabaran keselamatan masa hadapan demi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.
Tambah beliau, PSPN dan RTKP dihasilkan menerusi penggemblengan idea, tenaga serta kepakaran pelbagai pihak dalam MINDEF dan ATM, selain mendapat sumbangan daripada rakan-rakan strategik yang terlibat dalam proses penyediaannya.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dalam menghasilkan kedua-dua dokumen penting ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu Mohamed Khaled mengulangi komitmen bahawa pelestarian kesejahteraan warga kerja pertahanan terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.
Ini termasuk membina enam projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) baharu serta meneruskan projek penyenggaraan melibatkan 20,000 unit RKAT sedia ada.
Penyediaan RKAT terus menjadi antara fokus utama dalam usaha menyediakan kemudahan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada anggota ATM serta keluarga mereka, sekali gus menyokong keseimbangan kehidupan dan perkhidmatan anggota.
Dari aspek kesihatan pula, beliau berkata, MINDEF akan membina dua poliklinik ATM baharu di samping terus menaik taraf hospital-hospital angkatan tentera.

Selain itu kementerian katanya, turut memperkenalkan Program Ekonomi MADANI ATM di samping meneruskan Program Jualan Istimewa MADANI ATM (atau JIMAT) bagi memperkasa kedudukan ekonomi warga ATM melalui pelbagai peluang peningkatan pendapatan dan pembangunan keusahawanan yang mampan.
Bagi membantu anggota yang bakal menamatkan perkhidmatan, Program PROWIRA Ready To Work dilaksanakan sebagai platform persediaan kerjaya dengan memberi latihan, pendedahan industri dan peluang pekerjaan yang bersesuaian.
Selain itu, Program Work-Based Learning (WBL) turut diperhebatkan bagi meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran peserta melalui gabungan pembelajaran teori dan latihan praktikal di tempat kerja.
Pelaksanaan pelbagai program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan warga kerja pertahanan sentiasa terpelihara, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan institusi pertahanan negara. – MalaysiaGazette.















