PASIR GUDANG – Seorang lelaki, isteri dan anaknya melecur dalam kebakaran selepas berlaku kebocoran pada hos tong gas petroleum cecair (LPG) di kediamannya di tingkat 3, Blok 14, Flat SEDC, Taman Air Biru di sini, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Faisal Ismail berkata, mangsa lelaki berusia 30 tahun melecur 20 peratus pada kaki serta 50 peratus di tangan akibat kebakaran yang berlaku di ruang dapur kediamannya.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada pukul 9.26 malam sebelum 10 anggota serta sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran gas LPG pada hos saluran gas. Kami difahamkan sebelum kejadian, keluarga berkenaan terhidu bau gas.
“Keluasan rumah dianggarkan 20 x 40 kaki persegi dan kejadian mengakibatkan kemusnahan rumah kira-kira 50 peratus.
“Tiga mangsa mengalami kecederaan iaitu seorang lelaki dewasa, isterinya, berusia 28 tahun mengalami kecederaan serta pendarahan di bahagian dahi manakala anak mereka iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur pada ibu jari kaki kanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tiga beranak itu berjaya menyelamatkan diri dan mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Pasir Gudang dengan ambulans daripada Klinik Kesihatan Taman Air Biru.
Operasi terkawal pada pukul 10.32 malam dan tamat pada pukul 10.40 petang.- MalaysiaGazette















