KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mewujudkan satu pasukan khas (task force) bagi menjejaki dan membanteras sindiket pemberi pinjam wang tanpa lesen serta berselindung di sebalik platform digital untuk memperdaya mangsa.
Pengarah Biro Aduan dan Banteras Ceti Haram (Banteras) Panji Malaysia, Azman Kang berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wanag 1951 yang menyalahgunakan lesen yang diberikan.

“Taktik sindiket yang semakin agresif termasuk menggunakan platform digital untuk memperdaya mangsa serta melakukan ugutan jenayah juga perlu segera dibendung kerana ia sudah berlarutan sejak sekian lama tanpa ada penyelesaian tuntas.
“Selain itu, ceti haram ini juga dikesan berselindung di sebalik nama Kredit Komuniti untuk memperdaya mangsa kononnya mereka berurusan dengan entiti yang sah.
“Namun kadar faedah dikenakan melebihi dari yang dibenarkan di dalam akta iaitu kadar faedah tidak melebihi had maksimum 12 peratus (dengan cagaran) atau 18 peratus (tanpa cagaran) setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azman, tindakan penguatkuasaan yang lebih proaktif dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan antara langkah memastikan isu berkait ceti haram atau along dapat ditangani sebaik mungkin.
“Perlunya komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi.
“Ini bagi memastikan isu ini ditangani terutama melibatkan kes dari Singapura yang semakin meresahkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Panji Malaysia bersedia menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan isu lintah darat dapat dinoktahkan dengan penambahbaikan elemen perundangan sedia ada. – MalaysiaGazette
















