Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Perubahan sikap dua murid perempuan sebuah sekolah rendah di Semabok, di sini membongkar kejadian disyaki dicabul lelaki warga emas berusia 73 tahun berulang kali dalam stor masjid sejak dua minggu lalu.

Suspek yang masih bujang turut bertindak keji ‘mengumpan’ RM5 dan mi goreng sebelum membawa mereka ke sebuah stor masjid di Semabok dan meraba mangsa termasuk di bahagian kemaluan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa yang menceritakan kejadian kepada guru kaunseling sekolah mendakwa diperlakukan demikian oleh seorang kariah masjid berkenaan yang terletak berhampiran sekolah.

“Siasatan mendapati, suspek yang masih masih bujang dipercayai berkali-kali melakukan perbuatan tidak bermoral itu terhadap kedua-dua mangsa berusia lapan dan 10 tahun berulang kali dalam tempoh kira-kira dua minggu bermula 16 Jun lalu.

“Kejadian berlaku ketika kanak-kanak perempuan berkenaan menunggu ibu bapa atau penjaga mengambil mereka di kawasan berhampiran masjid selepas tamat sesi persekolahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.

Menurutnya, peluang itu dipercayai digunakan suspek dengan memujuk mangsa menggunakan wang RM5 dan mi goreng sebelum membawa mereka ke stor masjid berkenaan.

“Suspek yang merupakan kariah yang biasa hadir ke masjid itu dipercayai membawa mangsa ke dalam stor dan melakukan perbuatan tersebut.

“Kejadian ini bukan berlaku sekali, sebaliknya berulang kali dalam tempoh kira-kira dua minggu melibatkan kedua-dua murid perempuan malah turut meminta mangsa supaya merahsiakan perbuatannya itu,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kedua-dua penjaga mangsa kemudian tampil membuat laporan polis semalam dan suspek berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast