KUANTAN – Seramai lima warga asing merupakan antara sembilan individu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kegiatan melombong bauksit tanpa lesen di ladang kelapa sawit Felda Bukit Goh, di sini semalam.
Menurut Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain, aktiviti itu terbongkar selepas serbuan dijalankan kira-kira jam 11.30 pagi menerusi Op Bersepadu Khazanah oleh Batalion 7 PGA dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 36 tahun sehingga 58 tahun itu terdiri daripada empat warganegara Indonesia dan seorang warganegara Bangladesh dan gagal mengemukakan pengenalan diri yang sah.
“Turut dirampas ketika serbuan adalah tiga buah lori tanah, dua buah jengkaut, enam keping dokumen selain dua longgokan tanah yang disyaki mengandungi mineral jenis bauksit di mana kesemuanya dianggarkan bernilai RM3.75 juta.
“UPNP telah menyita kesemua jentera terbabit dan mengarahkan agar kerja-kerja mengorek tanah di lokasi dihentikan serta-merta sehingga siasatan lengkap selesai dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ahmad Radzi, tapak lokasi berkenaan dimiliki seorang peneroka Felda yang dipajak oleh sebuah syarikat bagi kerja-kerja pembersihan dan penanaman semula kelapa sawit.
Beliau berkata, kesemua tanah yang telah siap dikorek dipercayai akan dihantar ke sebuah kilang memproses tanah di Gebeng untuk diproses sebelum dihantar kepada pembeli.
“Hasil semakan mendapati, aktiviti mengorek tanah tersebut tidak mempunyai sebarang lesen yang sah daripada pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya lagi.
Tambah beliau, pihak polis kini dalam proses mengesan seorang individu yang merupakan majikan kepada kesemua suspek kerana menggaji pekerja tanpa permit yang sah.
Difahamkan, kesemua suspek dibayar gaji sekitar RM1,900 sehingga RM2,200 sebulan.
Katanya kes itu disiasat dibawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette
















