DENGKIL – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) diarahkan untuk menyelaraskan prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan urusan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan pantas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelewatan proses kelulusan serta perbezaan peraturan antara sesetengah PBT dikenal pasti sebagai antara faktor yang menjejaskan usaha meningkatkan daya saing negara.
Menurutnya, meskipun Malaysia berjaya mencatat peningkatan memberangsangkan dalam kedudukan daya saing global, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya melibatkan kecekapan sistem penyampaian di peringkat PBT.
“Bila saya sentuh tadi mengenai daya saing, masalah kita juga di sebahagian majlis perbandaran yang tidak dapat meningkatkan prestasi dan daya saing kita.
“Peraturan di majlis perbandaran dan bandar raya ini kadang-kadang berbeza dan tidak dapat menjamin kecekapan serta kepantasan pelaksanaan.
“Orang kata memohon kebenaran nak buat rumah, nak buat kilang, kalau dia tunggu sampai berbulan, letih dia dan kos boleh meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jameatus Solehah, hari ini.
Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan telah mencadangkan supaya KPKT bersama KSN mengambil langkah penyelarasan yang lebih menyeluruh terhadap prestasi PBT di seluruh negara.
“Sebab itu kita telah mencadangkan supaya KPKT dan KSN menyelaraskan serta memastikan PBT dapat dikawal dan diawasi.
“Yang baik kita letak cemerlang, yang kurang, kita kemukakan langkah-langkah baharu,” katanya.
Terdahulu, Anwar memaklumkan Malaysia terus mencatat peningkatan ketara dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) apabila melonjak daripada tangga ke-34 pada 2024 kepada tangga ke-23 pada tahun ini.
Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk penjawat awam, sektor swasta dan rakyat yang bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak cepat berpuas hati, sebaliknya terus melakukan penambahbaikan bagi memastikan momentum peningkatan daya saing negara dapat dikekalkan.
Media melaporkan semalam bahawa Malaysia mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun apabila melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2026 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), berbanding tangga ke-23 tahun lalu.
Pencapaian itu turut menyaksikan negara memperbaiki kedudukan sebanyak 19 anak tangga dalam tempoh dua tahun selepas berada di tangga ke-34 pada 2024, sekali gus kembali berada dalam kelompok 20 ekonomi paling berdaya saing dunia dengan skor keseluruhan 81.91 mata.
Dalam kalangan ekonomi Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kelima di belakang Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China, namun mengatasi Australia, Korea Selatan, Thailand, Vietnam dan Jepun. – MalaysiaGazette
















