Perdana Menteri, Anwar Ibrahim beramah mesra bersama para jemaah ketika hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 Mei 2026.

DENGKIL – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa syukur apabila tinjauan Merdeka Center meletakkan beliau sebagai pemimpin politik paling disukai di negara ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan pengiktirafan itu tidak seharusnya membuatkan seseorang pemimpin leka, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk terus memperbaiki prestasi dan bekerja lebih keras demi rakyat.

“Alhamdulillah, berita-berita begitu, Alhamdulillah.

“Tapi saya sentiasa sebut dalam semangat islah ma istata’tu, iaitu kita berusaha sedaya upaya untuk terus meningkatkan prestasi.

“Dan rumusan hadis, itqan fil ‘amal, kita sentiasa cuba lakukan yang sebaiknya, kerja lebih kuat dan jangan kadang-kadang terkulai dengan pujian-pujian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil, hari ini.

Semalam, Merdeka Center melaporkan Anwar merekodkan kadar sokongan tertinggi dalam kalangan pemimpin politik negara dengan memperoleh penarafan positif sebanyak 52 peratus.

Tinjauan yang dijalankan antara 12 Mac hingga 9 April lalu itu turut mendapati 42 peratus pengundi Malaysia percaya negara berada di landasan yang betul meskipun berdepan ketidaktentuan global dan cabaran ekonomi semasa.

Menurut Merdeka Center, peratusan tersebut kekal tidak berubah berbanding tinjauan yang dijalankan pada Disember 2025 dan Februari 2026.

Dari segi tahap kepuasan terhadap Kerajaan Persekutuan, 50 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati, manakala 48 peratus lagi tidak berpuas hati.

Mengikut pecahan etnik, bumiputera Muslim dan bukan Muslim di Sabah serta Sarawak mencatat tahap kepuasan tertinggi iaitu 68 peratus, diikuti responden Cina sebanyak 53 peratus, manakala responden India dan Melayu masing-masing merekodkan kadar kepuasan 46 peratus dan 44 peratus. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast