GEORGE TOWN – Keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 24 sebuah kondominium di Teluk Kumbar di sini, semalam reda dengan pemergian anak bongsu mereka yang disifatkan sebagai ceria dan suka bergurau.
Bapa mangsa, Efwan Reza Rusdizal, 40, berkata anaknya, Emyr Nader Redza merupakan anak bongsu daripada tiga beradik serta seorang kanak-kanak yang dominan, sensitif dan mudah menghiburkan keluarga dengan gelagatnya.
Jelasnya, arwah yang mesra dengan panggilan ‘bos kecil’ itu sangat gemar melukis kartun serta mampu meniru semula gambar yang dilihat dengan baik, selain mempunyai bakat tersendiri walaupun masih kecil.
“Bagi kami dia seorang yang ceria dan saya nampak bakat dia menerusi lukisan.
“Semalam tak ada apa-apa yang pelik… dia macam biasa sahaja dan tiada juga perubahan luar ditunjukkan dalam tempoh terdekat ini.

“Jadi kami tidak sangka dengan apa yang berlaku, namun kami reda. Ramai juga berkata dia anak syurga dan kami harap ia menjadi syafaat kepada saya serta keluarga di sana nanti,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.
Menurut Efwan Reza, detik arwah bergurau memakai tudung sekolah kakaknya kira-kira sejam sebelum kejadian menjadi kenangan terakhir yang tidak disangka keluarga.
“Saya pakaikan tudung sekolah kakaknya kepada dia sebelum rakam gambar tersebut. Muka dia bila pakai tudung sama macam sepupunya dan waktu itu kami semua ketawa… tak sangka itu jadi kenangan terakhir kami bersama dia.
“Momen ringkas itu berlaku dalam suasana biasa tanpa semalam tapi hari ini bila lihat muka sepupunya di jabatan forensik saya masih teringat detik kami bersama semalam,” katanya dalam nada sedih.
Mengulas lanjut Efwan Reza berkata, dia dan isterinya, Nurul Nadiah Mohamad, 40, telah berjauhan hampir dua tahun lalu kerana isteri bekerja di ibu negara, namun hubungan kekeluargaan tetap erat melalui panggilan video hampir setiap hari.
“Kami video call setiap hari… tak pernah miss hampir dua tahun. Kadang hujung minggu sampai lima hingga enam kali.
“Kami sekeluarga menerima takdir ini dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian serta memberi ruang kepada kami melalui saat sukar ini.
“Anak saya meninggal di hari dan bulan yang baik jadi saya minta orang ramai tolong doakan dia,” katanya.
Jenazah kanak-kanak itu akan dibawa pulang ke Petaling Jaya, Selangor untuk urusan pengebumian selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Pulau Pinang.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki ditemui maut di tingkat lima sebuah kondominium selepas dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 24.
Mangsa berusia lima tahun ditemukan orang awam kira-kira jam 11.30 malam sebelum melakukan panggilan kecemasan menerusi MERS 999 bagi memaklumkan kejadian.
Difahamkan, hasil pemeriksaan polis serta pasukan forensik di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian. – MalaysiaGazette
















