BATU PAHAT – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Mohd Yusla Ismail akui berdebar apabila sekali lagi bertanding tetapi yakin dengan khidmat yang sudah diberikan, selain berserah kepada Allah.
Menurut beliau, gerak kerja menyeluruh dan sentiasa mendampingi rakyat menjadi asas untuknya mempertahan kerusi disandangnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Julai nanti.
Mohd Yusla Ismail menaruh keyakinan itu berlandaskan penerimaan 38,467 pengundi yang mengundi dalam kawasan Senggarang termasuk hampir 10,000 pengundi antara umur 18 hingga 30 tahun.
Katanya, sepanjang menjadi wakil rakyat sejak Mac 2022 lalu, pihaknya tidak pernah mengabaikan apa juga kesusahan penduduk di situ dan ia dilihat menjadi asas untuk mereka memberikan sokongan semula dalam PRN 16 ini.
Jelasnya, apabila dicalonkan semula, langkah sama akan dilakukan dengan tidak sesekali meninggalkan masyarakat setempat dan tidak hanya akan datang melawat secara bermusim” ketika adanya pilihan raya.
“Selain mendekati penduduk setempat, beberapa pembangunan termasuk jalan pintas di Kampung Rahmat telah selesai dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun ini.
“Beberapa perancangan lain termasuk melibatkan sosio ekonomi penduduk seperti nelayan dan pekebun kecil juga sedang dibawa untuk dilaksanakan dikawasan Senggarang ini,” katanya ditemui hari ini.
Yusla dalam pada itu mengingatkan pengundi agar memilih dengan menilai terlebih dahulu seseorang calon kerana tersilap pilih mereka terpaksa menanggungnya dalam tempoh agak lama jika ingin diubah semula.
“Untuk itu, pilihlah calon dengan hati terbuka, berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan, paling penting jangan terpedaya dengan janji yang belum pasti akan tertunai,” katanya.- MalaysiaGazette
















