Hafiz Shukor (tengah) bersama-sama Abdul Mutalib (kanan) ketika masih dalam UMNO dan menjawat jawatan sebagai ADUN Layang-Layang sebelum ini.

KLUANG – Keluar UMNO dan masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melawan semula UMNO kerana tidak menjadi calon pilihan raya negeri (PRN) adalah satu tindakan yang tidak berprinsip.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Hafiz Shukor mendakwa, tindakan itu yang dilakukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang Layang, Abdul Mutalib Abdul Rahim kerana tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor amat dikesali.

“Lebih mengecewakan adalah apabila Abdul Mutalib yang menyertai parti Bersatu dicalonkan untuk mewakili parti itu bertanding melawan calon Barisan Nasional (BN) di kawasan tempatnya berkhidmat sebelum ini.

“Pemuda UMNO Simpang Renggam menghormati hak mana-mana individu untuk memilih wadah politik masing-masing, namun setiap keputusan politik, lebih-lebih lagi yang dibuat selepas seseorang tidak dicalonkan semula, wajar dinilai secara terbuka berdasarkan prinsip, masa dan sebab tindakan tersebut dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Hafiz mengulas tindakan Abdul Mutalib itu selepas keluar UMNO dan diumumkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kawasan DUN Layang Layang dalam majlis memperkenalkan calon Bersatu di Muar malam tadi.

Jelasnya, tindakan Mutalib menimbulkan persoalan iaitu adakah perjuangan selama ini benar-benar berasaskan prinsip atau hanya bertahan selagi jawatan dan pencalonan masih diberikan.

“Perbezaan antara seorang pejuang dengan pengejar jawatan tidak terserlah ketika seseorang berada di puncak kuasa dan ia terbukti apabila parti membuat keputusan yang tidak memihak kepada kehendak peribadinya.

“Seorang pejuang akan terus berdiri bersama perjuangan walaupun tidak lagi menjadi calon manakala seorang pengejar jawatan pula akan mula mencari bahtera baharu apabila peluang peribadinya tidak lagi dipenuhi,” katanya.

Menurut Hafiz lagi, hakikatnya UMNO bukan sekadar platform sementara dalam perjalanan politik beliau malah melalui parti ini Abdul Mutalib diberikan kepercayaan untuk bertanding dan berkhidmat sebagai ADUN selama satu penggal dan menjawat jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor pada 2013 hingga 2018.

Ujarnya, peluang dan kedudukan tersebut bukan terhasil daripada kekuatan seorang individu semata-mata namun di sebalik setiap kemenangan terdapat ribuan ahli, petugas dan jentera parti yang berkorban masa, tenaga serta wang ringgit demi mempertahankan calon dan bekerja tanpa mengenal penat.

“Jika keputusan meninggalkan parti dibuat atas dasar perbezaan prinsip, mengapa perbezaan itu hanya menjadi alasan setelah pencalonan tidak lagi diberikan, mengapa prinsip tersebut tidak dinyatakan ketika ada jawatan, kedudukan dan peluang masih dinikmati,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast