BATU MAUNG – Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bot ketika dalam perjalanan pulang daripada menangkap ikan di perairan berhampiran Pulau Kendi di sini.

Mangsa dikenali sebagai Tang Chin Khoon, 51, yang merupakan awak-awak bot dikatakan keluar ke laut bersama tiga lagi rakannya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, berdasarkan siasatan awal, bot berkenaan keluar ke laut kira-kira jam 6 petang pada Rabu lalu.

Menurutnya, ketika bot dalam perjalanan pulang sekitar jam 10 malam, pengemudi menyedari mangsa sudah tiada di atas bot dan dipercayai terjatuh ke laut berhampiran Pulau Kendi.

“Tekong bersama beberapa bot nelayan lain kemudian menjalankan usaha pencarian di sekitar lokasi kejadian, namun mangsa masih belum ditemukan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diselaraskan bersama Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi berkaitan.

“Hebahan turut dibuat kepada komuniti nelayan dan bot yang berada di kawasan perairan berkenaan bagi membantu usaha mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Anuwal, siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes dikendalikan sebagai kes orang hilang di laut sementara operasi SAR diteruskan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim negeri menerima maklumat awal berhubung kejadian itu hasil aduan awam pada jam 10.15 malam.

Katanya, sektor pencarian di lapangan telah diperluaskan sehingga hampir 19 batu nautika persegi dengan tumpuan diberikan di lokasi terakhir mangsa dipercayai berada.

“Bagaimanapun, keadaan cuaca yang kurang baik di lokasi ketika ini (malam tadi) agak menyukarkan usaha pencarian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast