JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM3,000 terhadap seorang penganggur dan seorang ibu tunggal atas dua pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah di dua buah rumah, awal bulan ini.
Majistret Afifah Hazimah Wahab dan Majistret Tan Chiew King menjatuhkan hukuman itu terhadap Syahrul Khoirunizam Mahmudi, 24, dan Siti Nurul Soleha Jafery, 26, selepas kedua-duanya mengaku salah dalam prosiding berasingan.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tambahan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan menyimbah cat merah di sebuah rumah di Kampung Oren, Ulu Tiram pada pukul 4.30 pagi, 16 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Taman Air Biru, Pasir Gudang pada pukul 1 pagi, 11 Jun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal dan Nor Deana Aqilah Aliman, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nurul Hidayah.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh ditahan polis minggu lalu selepas disyaki membantu kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ‘ah long’.- MalaysiaGazette















