Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua parti yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya berkempen secara berhemah, menjaga akhlak dan mengelakkan sikap angkuh sepanjang tempoh berkempen.

Menurut beliau, pertandingan membabitkan tiga penjuru atau lebih merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi, namun semua pihak perlu memastikan kempen berlangsung secara sopan dan menghormati rakyat.

“Tiga ke enam (penjuru) ini lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen itu sopan, jaga akhlak, jangan lupa daratan.

“Bagi kita, kita cuba dalam Pakatan Harapan dekatkan (dengan rakyat) kerana prestasi ditunjukkan. Jangan tunjuk sombong, jangan kata, ‘tolak orang itu, tolak’… tidak, kerjasamalah (sebaiknya),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah Pekan Dengkil, hari ini.

Anwar berkata, kempen yang matang dan beretika penting bagi memastikan proses demokrasi berjalan dengan baik serta memberi ruang kepada rakyat membuat pilihan berdasarkan prestasi dan tawaran setiap parti.

PRN Johor dijangka menyaksikan persaingan sengit apabila beberapa gabungan dan parti politik utama dijangka bertanding bagi merebut mandat mentadbir negeri itu. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast