Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas tidak akan berkempen untuk calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 meskipun kedua-dua parti itu bertanding menggunakan logo sama iaitu Perikatan Nasional (PN).

Malah, Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas dan Bersatu juga akan berkempen secara berasingan sepanjang PRN tersebut.

Ketika ditanya berkenaan perkara itu, Abdul Hadi menjawab: “Kerana dia (Bersatu) mendesak nak logo (PN) itu juga dan kita tak pecat dia (Bersatu) lagi.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kuliah duha di Masjid Rusila, Marang, Terengganu hari ini, yang video sidang media itu turut dimuat naik dalam Facebooknya.

Sementara itu, ditanya berkenaan sasaran pada PRN Johor ke-16, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas mensasarkan untuk menjadi `pembangkang’ di negeri berkenaan.

“Jadi pembangkang lah…penasihat kepada kerajaan (negeri),” katanya.

Berhubung sasaran kemenangan pula, ujarnya, Pas meletakkan harapan supaya kesemua 11 calon yang dipertaruhkan parti itu mampu mencapai kemenangan.

Namun, ujar beliau, apa yang lebih utama bagi Pas pada PRN Johor ialah supaya Kerajaan Negeri Johor selepas PRN kelak diperintah oleh pemimpin Melayu-Islam.

“Kita tak mahu (kerajaan negeri) Johor dikuasai oleh puak-puak liberal, bukan Islam. Biar orang Islam yang memerintah Johor, itu yang penting,” katanya.

Malam tadi, Pas mengumumkan akan bertanding 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor ke-16, iaitu berkurang daripada 16 kerusi pada PRN lalu.

Kerusi yang akan ditandingi Pas kali ini adalah DUN Jementah; Tenang; Maharani; Sungai Balang; Semerah; Seri Medan; Endau; Tiram; Pasir Raja; Kahang dan Simpang Jeram. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast