FRANKFURT – Pengeluar kereta terbesar Eropah, Volkswagen, dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan puluhan ribu lagi pekerjaan di seluruh dunia serta menutup sehingga empat kilang di Jerman, menurut laporan Manager Magazin hari ini.
Volkswagen sebelum ini telah mengumumkan rancangan mengurangkan 50,000 pekerjaan di Jerman menjelang 2030 berikutan tekanan kos operasi yang tinggi, tarif Amerika Syarikat (AS) serta persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik China.
Jurucakap Volkswagen enggan mengulas mengenai perkara sulit syarikat, namun mengakui kumpulan itu perlu meningkatkan daya saingnya.
“Lembaga pengarah telah berulang kali menegaskan bahawa model perniagaan semasa tidak lagi berkesan untuk semua jenama di bawah kumpulan ini dalam bentuk sedia ada.
“Keseluruhan kumpulan perlu meningkatkan daya saing dengan ketara. Ini memerlukan tumpuan yang lebih jelas serta disiplin yang lebih ketat dalam aspek kos dan pelaburan,” katanya.
Memetik sumber dalaman syarikat yang tidak dinamakan, Manager Magazin melaporkan, Volkswagen merancang mengurangkan pelaburan sebanyak 15 peratus kepada lebih sedikit daripada €130 bilion (AS$148 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.
Laporan itu turut menyebut kilang di Hanover, Zwickau dan Emden akan ditutup selepas pengeluaran model sedia ada tamat, manakala sebuah lagi kilang milik jenama saudaranya, Audi, juga dijangka ditutup.
Ketua Kesatuan Sekerja IG Metall, Christiane Benner, bersama ketua majlis pekerja Volkswagen, Daniela Cavallo berkata, pekerja akan menentang sebarang langkah pengurangan tersebut.
“Jika rancangan ini menjadi kenyataan, kami akan menghalangnya dengan segala kemampuan. Lembaga pengarah sepatutnya menumpukan perhatian kepada tugas utama mereka, iaitu menghasilkan produk yang berdaya saing,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Di bawah perjanjian dengan kesatuan sekerja, pemberhentian kerja secara paksa di Volkswagen sepatutnya tidak dibenarkan sehingga 2030, manakala di Audi sehingga 2033.
Penutupan kilang Volkswagen di Jerman juga dipersetujui tidak akan berlaku sekurang-kurangnya sehingga penghujung dekad ini berdasarkan perjanjian yang dicapai pada akhir 2024.
Volkswagen kini berdepan tekanan hebat susulan kemerosotan jualan di China selama beberapa tahun, margin keuntungan yang semakin mengecil dalam segmen kenderaan elektrik serta kesan kenaikan tarif oleh Presiden AS, Donald Trump, tahun lalu.
Sementara itu, pengeluar kereta Jerman lain, BMW, yang sebelum ini lebih berjaya menghadapi cabaran industri berbanding Volkswagen dan Mercedes-Benz, turut menurunkan unjuran prestasinya awal bulan ini dengan menjangkakan penurunan ketara keuntungan akibat konflik di Timur Tengah dan kelembapan pasaran China.- Agensi
















