Dr Zuhan Zain

KLUANG – Melibatkan diri dalam kepimpinan negara bukan sekadar mengejar jawatan, sebaliknya memerlukan komitmen untuk memahami keperluan masyarakat dan memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Itulah azam calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr. Zuhan Zain, 47, yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menurutnya, hasrat merebut kawasan Mahkota itu dilakukan setelah melakukan kajian serta penilaian keperluan setiap golongan masyarakat agar tiada yang ketinggalan apabila perancangan dilakukan.

“Aspirasi besar yang akan menjadi keutamaan adalah pembangunan ekonomi khususnya kepada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah kerana kumpulan ini amat memerlukan untuk membina keluarga masing-masing dalam mengharungi cabaran kehidupan masa kini.

“Tanpa asas ekonomi yang kukuh, institusi keluarga bakal berhadapan dengan pelbagai rintangan dan tindakan membangunkan ekonomi mereka amat penting bagi menjamin masa depan kehidupan.

“Hasil kajian awal, saya mendapati terdapat kira-kira 1,000 penduduk Mahkota yang menjalankan kehidupan dalam pertanian serta perladangan, golongan ini perlu dibawa lebih jauh dengan melibatkan mereka dalam perancangan pertanian berteknologi tinggi,” ketika ditemui.

Beliau berkata, golongan muda perlu diberi peluang dalam aspek perindustrian yang mampu menjana pulangan untuk membangunkan keluarga masing-masing.

Menurut Zuhan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor di Kluang, terdapat pelbagai pusat melibatkan pertanian berteknologi tinggi seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Veterinar Kluang dan Pusat Pertanian Modern.

Jelas beliau, kewujudannya boleh dimanfaatkan untuk membantu mereka terlibat secara lebih banyak dalam perusahaan masing-masing.

Ujarnya, semua perkara disebutkan itu tidak mustahil mampu dilakukan apatah lagi apabila kerajaan negeri seali dengan kepimpinan Pusat bagi membolehkannya dibawa terus kepada masyarakat.

“Selain itu, saya juga mensasarkan untuk membawa keseluruhan daerah ini agar dapat berada setanding dengan daerah-daerah maju lain seperi Johor Bahru dan Pasir Gudang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast