KUALA LUMPUR – Dua individu rentung manakala seorang lagi terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) susur keluar Jalan Kuching, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.20 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dan Sri Hartamas telah dikerah ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta terbabas sebelum terbakar.
“Tiga mangsa terbabit dalam kejadian itu. Dua mangsa rentung akibat tersepit dalam kereta yang terbakar, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kereta itu musnah 100 peratus,” kata JBPM dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang terselamat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Punca kebakaran dan kemalangan masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















