MUAR – DUN Bukit Naning hampir pasti menyaksikan pertandingan lima penjuru pada PRN Johor ke-16 apabila lima calon dilihat hadir ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Angsana Maktab Teknik PDRM di sini hari ini.
Calon Parti Bersama Rakyat (Bersama) Iskandar Md Alias paling awal dilihat tiba jam 7.30 pagi diikuti Md Ysahrudin Kusni (PH).
Turut sama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ghazali Sabari, Mohd Radzi Amin (PN) serta seorang lagi calon Bebas S Jeganathan.
Bagaimanapun, pertandingan lima penjuru itu hanya akan disahkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi dan senarai calon yang layak bertanding diumumkan.
Tumpuan terarah kepada Md Ysahrudin dan Mohd Radzi yang dilihat tiba hampir serentak sebelum sempat beramah mesra dan bergurau ketika menuju ke pusat penamaan calon.
Mohd Radzi turut berseloroh kepada Md Ysahrudin dengan berkata, “nanti share jadual (kempen),” sebelum kedua-duanya berarak memasuki pusat penamaan calon.
Suasana itu mencuri perhatian penyokong kedua-dua parti yang berhimpun di luar pusat penamaan calon.
Turut mengiringi calon PH ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Pada PRN 2022, bekas ADUN Bukit Naning, Datuk Dr Mohd Fuad Tukirin yang digugurkan sebagai calon BN pada PRN kali ini berjaya merampas semula kerusi DUN Bukit Naning daripada PKR dalam saingan lima penjuru.
Beliau meraih 5,437 undi mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) Mahadzir Abu Said yang meraih 3,902 undi.
Calon PKR, Md Ysahrudin Kusni raih 3,317 undi, S Jeganathan (Bebas) 1,514 undi manakala calon Pejuang, Datuk Ibrahim Shafe’e hanya mendapat 86 undi.
PRN Johor ke-16 kali ini bakal menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertembung di kesemua 56 kerusi DUN.
Seramai 56 calon PH termasuk bekas menteri, Ahli Parlimen dan bekas Exco terdiri daripada 20 calon PKR, 19 Amanah dan 17 DAP.
BN yang bertanding secara solo untuk kembali mentadbir kerajaan negeri pula menampilkan gabungan muka lama dan baharu membabitkan 37 calon UMNO, 15 MCA dan empat MIC.
Manakala PN mengagihkan 33 kerusi yang ditandinginya antara Bersatu, Pas, Pejuang dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Ia melibatkan 16 kerusi daripada Bersatu, diikuti Pas (11), MIPP (5) dan Pejuang di kerusi tunggal DUN Gambir.
PRN Johor dijadual berlangsung pada 11 Julai depan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai.
Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan seramai 2,727,926 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Pada PRN 2022, BN membentuk kerajaan negeri selepas menang 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH (12), PN (3) dan MUDA (1). – MalaysiaGazette















