Calon Pakatan Harapan bagi DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern hadir bersama penyokong untuk menyerahkan borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Batu di Dewan Serbaguna Taman Putri, Kulai. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

KULAI – Suasana Hari Penamaan Calon Bagi Kerusi N.51 Bukit Batu di pekarangan Dewan Serbaguna Taman Putri di sini hari ini sedikit panas apabila para penyokong parti saling berbalas sorakan dan jeritan.

Jeritan hidup Pakatan Harapan, undi Pakatan Harapan dan reformasi daripada penyokong PH kedengaran manakala Maju Johor dan Hidup BN dilontarkan penyokong penyokong BN.

Kira-kira 300 penyokong PH dan lebih 100 penyokong BN selain penyokong Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memenuhi kawasan luar dewan.

Bagaimanapun keadaan terkawal dan reda apabila Pegawai Pengurus Pilihan Raya N51 Bukit Batu, Mohd Hafiz Aliman umum proses penyerahan kertas penamaan calon dibuka secara rasmi bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi ini

Ini kerana kawasan tersebut merupakan salah satu kerusi panas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana pernah berlaku pertikaian keputusan kemenangan pada PRN Johor sebelum ini pada 2022.

Sebahagian penyokong yang hadir mengiringi calon masing-masing untuk menyerahkan borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Batu di Dewan Serbaguna Taman Putri, Kulai. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

Pada PRN Johor kali ini berlaku pertembungan Lima penjuru antara calon PH, Arthur Chiong, 36; calon BN, R K Kumaran, 56; calon MUDA, M Premanand, 53, calon Bersama, G Tamili, 30, dan calon Bebas, Datuk Kamaruzaman Ali, 63.

Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.

Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kulai menewaskan Datuk S Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.

Susulan itu, MIC yang tidak berpuas hati dengan kemenangan tipis itu menuntut SPR mengira semula kertas undi kerusi DUN Bukit Batu.

Calon Pakatan Harapan bagi DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern hadir bersama penyokong untuk menyerahkan borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 di Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Batu di Dewan Serbaguna Taman Putri, Kulai. Foto SADIQ SANI, 27 JUN 2026.

Suppayah yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat mahukan pengiraan semula kerana terdapat sejumlah besar kertas undi yang ditolak dan mendakwa berlaku ketirisan, ketika proses pengiraan undi.

Beliau juga mendakwa permintaannya untuk mengira semula undi di beberapa pusat pengundian ditolak oleh pegawai SPR dan penolakan permintaannya itu tidak mematuhi undang-undang kecil pilihan raya.

Suppayah kemudian membuat laporan polis sebelum mengemuka petisyen pilihan raya.

Mahkamah pilihan raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur Chiong Sen Sern pada PRN Johor, bagi kerusi DUN Bukit Batu Mac lalu adalah sah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast