SEREMBAN – Dakwaan kononnya wujud persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) susulan tiada pertembungan 23 kerusi bagi kedua-dua gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai tidak berasas.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, jumlah kerusi yang tidak ditandingi secara langsung antara BN dan PN tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petanda wujud kerjasama atau strategi bersama antara kedua-dua pihak.
“Keadaan itu juga bukan bermaksud terdapat pakatan sulit atau kerjasama politik antara BN dan PN, sebaliknya lebih kepada pertimbangan kekuatan masing-masing di kawasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons terhadap spekulasi yang timbul berhubung 23 kerusi yang tidak menyaksikan pertembungan langsung antara BN dan PN pada pilihan raya berkenaan.
Menurut beliau, sebanyak 33 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor tetap menyaksikan pertandingan melibatkan BN dan PN, sekali gus menunjukkan persaingan yang lebih besar berbanding kerusi yang tidak bertembung.
Beliau mendakwa 13 daripada 23 kerusi yang tidak ditandingi PN merupakan kubu kuat BN, manakala baki 10 kerusi lagi adalah kawasan yang dianggap sebagai kubu kuat DAP.
Malah jika dibiarkan menang 23 kerusi itu pun masih belum cukup untuk BN membentuk kerajaan.
“Jadi mengapa Harapan perlu risau?,” soal beliau.
Beliau sebaliknya mendakwa, PH berada dalam keadaan lebih stabil untuk menghadapi PRN Johor.
Edy berkata, daripada jumlah 23 kerusi yang tidak bertembung itu, PN memilih untuk tidak meletakkan calon di 13 kerusi yang kini disandang BN kerana kubu kuat parti itu.
Manakala 10 lagi kerusi yang tidak ditandingi PN adalah lopak DAP, letak ‘mancis’ bertanding pun masih boleh menang DAP.
Lantaran itu, Edy mendakwa, perkara itulah punca 23 kerusi tidak ditandingi PN, bukan sebab mereka bergabung secara halus atau bergandingan, mahupun menyusun langkah strategi politik apatah lagi nak dikatakan membentuk Muafakat Nasional (MN) 2.0 di PRN Johor.
Dakwanya lagi, Pas juga sudah kena game kerana parti tersebut menceraikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia kerana mahu bentuk MN 2.0.
Namun akhirnya, Pas terpaksa rujuk ‘mutaah’ dengan Bersatu demi sama-sama hendak pakai logo PN, walaupun sudah tidak sehaluan.
Paling sadis, katanya, harapan Pas ada calonnya dan Wawasan diberi watikah BN, tidak berlaku sama sekali.
“Sudahnya bergumpal balik dengan Bersatu demi berebut jenama PN,” ujar beliau lagi.
Menurutnya, hanya PH yang mencerminkan kestabilan sebagai lesen awal masuk bertanding, belum lagi tunjuk manifesto dan testimoni.
Manakala, katanya, BN agak tak semenggah apabila menangguhkan pengumuman calon sebanyak tiga kali, selain tiada kelibat kepimpinan utama UMNO ketika memperkenalkan calon-calonnya.
“PN pula bukan lagi ‘retak menanti belah’, tetapi sudah terbelah dan berkecai, cuma disambung sementara guna gam gajah untuk PRN Johor.
“Apakah mereka ini perlu diberi peluang untuk menang pilihan raya dan membentuk kerajaan? Pasti ranap dek perebutan kuasa.
“Jadi mengapa PKR perlu gusar?,” kata Edy. – MalaysiaGazette
















