KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa portal rasmi Kementerian kini sedang mengalami gangguan akses yang dipercayai berpunca daripada insiden keselamatan siber.
Sehubungan itu, KKM sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian dengan kadar segera.
Pada masa yang sama, tindakan pemulihan semula sistem sedang dilaksanakan bagi memastikan portal rasmi kementerian dapat beroperasi semula secepat mungkin.
“KKM memandang serius insiden ini dan sedang bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan aspek keselamatan sistem diperkukuhkan serta bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat rasmi kementerian melalui saluran media sosial rasmi KKM dan platform komunikasi rasmi lain sepanjang tempoh gangguan ini.
“Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak sementara usaha pemulihan dilaksanakan. Sebarang perkembangan lanjut berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette















