USAI proses penamaan calon PRN Johor pagi 27 Jun 2026 lalu, bermulalah satu lagi babak baharu dalam drama politik tanahair yang hampir pasti akan diwarnai aneka kisah dan cerita yang mengundang pelbagai rasa. Dan hampir pasti juga kisah-kisah ini nantinya akan diikuti dan dicermati oleh ramai orang dengan penuh minat dan perasaan teruja sehingga selesai pengumuman barisan Exco oleh Menteri Besar Johor kelak, dan bersambung pula kitarannya nanti dengan PRN Negeri Sembilan.
Di sebalik keterujaan itu, harus kita sedari bahawa PRN Johor (dan juga Negeri Sembilan) ini hanyalah satu lagi manifestasi betapa para pemuka politik tidak meletakkan kepentingan ekonomi dan kemaslahatan rakyat dalam membuat keputusan. Meskipun pelbagai alasan yang diberikan untuk mengadakan PRN tidak serentak dengan PRU, apakah ia cukup kukuh untuk menjustifikasi tindakan yang sedemikian?
Kedua-dua Menteri Besar Johor dan Negeri Sembilan menyatakan bahawa tindakan mereka membubarkan DUN adalah atas alasan ‘kestabilan politik’. Waima begitu, alasan ini kedengaran aneh bagi Johor kerana 2/3 kerusi DUN Johor sememangnya diwakili oleh Barisan Nasional (BN).
Bagi Negeri Sembilan pula, meskipun wujud kemelut yang ditimbulkan blok BN pada April lalu, ia dilihat relatif terkawal kini susulan campur tangan Pengerusi BN. Sebelum memutuskan untuk membubarkan DUN, seharusnya pimpinan PH Negeri Sembilan berunding bersungguh-sungguh dahulu dengan dengan pucuk pimpinan BN agar BN terus berada dalam blok Kerajaan untuk tempoh beberapa bulan lagi sehingga tiba PRU ke-16 demi kemaslahatan yang lebih besar.
Adapun alasan lain yang diberikan seperti mengelakkan pengundian semasa musim monsun atau musim perayaan yang panjang, semuanya adalah alasan yang lemah dan tidak boleh diterima. Adakah dengan mengadakan PRN lebih awal akan membuatkan risiko ini hilang dengan ajaibnya? Ini kerana para pemilih masih berisiko mengundi dalam keadaan tersebut jika PRU ke-16 ditetapkan semasa musim monsun ataupun semasa musim perayaan tahun hadapan.
Semua orang yang cakna sudah tentu tahu bagaimana konflik yang dicetuskan oleh AS & Israel di Iran telah membelit ekonomi negara kita dengan ketat, sehingga memaksa Kerajaan pusat mencari segenap cara untuk melonggarkan sedikit belitan tersebut. Dasar bekerja dari rumah, pembatalan rumah terbuka Aidilfitri, dan pengurangan kuota BUDI MADANI adalah antara langkah-langkah yang terpaksa dilaksanakan demi mengurangkan perbelanjaan Kerajaan. Malangnya sebahagian penjimatan yang diperolehi daripada segala catuan perbelanjaan di atas akhirnya disia-siakan oleh PRN awal di Johor dan Negeri Sembilan.
RM167.4 juta – satu jumlah yang boleh dimanfaatkan untuk menampung sebahagian keperluan mendesak yang bersifat kritikal seperti sistem kesihatan awam yang sedang berdepan dengan krisis kekurangan kakitangan, sehingga menyebabkan ada hospital daerah terpaksa menutup perkhidmatan klinik pakarnya. Ataupun digunakan untuk mengukuhkan kawalan sempadan yang sering dibolosi, atau boleh juga disalurkan untuk meningkatkan kerterjaminan makanan nasional.
Malangnya jumlah ini terpaksa dibelanjakan untuk mengendalikan PRN Johor dan Negeri Sembilan, yang hampir kesemuanya boleh dielakkan sekiranya PRN diadakan serentak dengan PRU 16. Ini belum lagi dikira kos-kos tidak langsung seperti kesan terhadap produktiviti, penggunaan sumber tenaga kerja, serta gangguan kepada urusan pentadbiran dan ekonomi setempat.
Yang lebih membimbangkan kemungkinan kos yang dicurahkan bagi PRN Negeri Sembilan menjadi sia-sia sekiranya ada pihak yang mencabar keabsahan pembubaran DUN di mahkamah berikutan krisis adat yang sedang melanda negeri tersebut. Sekiranya mahkamah kemudiannya memutuskan bahawa pembubaran DUN tidak sah berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, sedangkan PRN telah pun selesai dilaksanakan, maka terbazirlah RM80 juta dana awam begitu sahaja.
Intihanya, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan suatu mekanisme semak dan imbang dalam urusan pembubaran Dewan Undangan Negeri. Antaranya ialah melalui pindaan perlembagaan yang memberikan peranan tertentu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bersama-sama badan bebas lain untuk menilai alasan pembubaran DUN.
Mekanisme sedemikian tidak semestinya bertujuan menyekat kuasa pihak berkuasa negeri. Sebaliknya, ia boleh berfungsi sebagai suatu bentuk perlindungan institusi bagi memastikan setiap pembubaran DUN dibuat atas alasan yang kukuh, munasabah dan benar-benar perlu.
Penilaian tersebut menjadi lebih penting sekiranya pembubaran berkenaan berpotensi menyebabkan kos pilihan raya berganda, khususnya ketika keadaan ekonomi negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Perlu ada kesungguhan politik untuk meletakkan kepentingan ekonomi dan kemaslahatan rakyat sebagai pertimbangan paling utama dalam apa-apa keputusan yang hendak diambil.
Oleh: Shahrul Amri Ab Wahab & Syazliana Kasim
Fakulti Pengurusan & Perniagaan
Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan















