PARIT SULONG – Dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon ‘kitar semula’ serta mengaitkan pemimpin dengan isu ‘rakan main golf’ hanyalah naratif lapuk yang sengaja diulang menjelang pilihan raya dan tidak akan menjejaskan gerak kerja jentera parti, kata Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata, tohmahan dan tuduhan seumpama itu tidak mengganggu fokus jentera BN yang kini terus memperkukuh persiapan di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, budaya BN sejak dahulu tidak pernah mengajar pemimpinnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung atau menjatuhkan imej mana-mana pihak.
“Ia adalah lumrah buat manusia apabila berada dalam keadaan marah, segala yang baik sebelum ini boleh berubah. Emosi menguasai pertimbangan sehingga perkara kecil turut dipersoalkan secara berlebihan.
“Apabila seseorang berada dalam keadaan marah, apa sahaja perkara boleh diungkapkan tanpa pertimbangan rasional dan mudah disalah tafsir.
“Apa yang perlu ditekankan ialah semua isu yang timbul perlu ditangani secara berhemah agar tidak menjejaskan fokus BN menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Mjalis Pelancaran Jentera BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani dan Parit Raja di Dataran Tanjung Simpang, Jalan Tan Sri Mohamad, Tongkang Pechah, di sini, hari ini.
Majlis Pelancaran itu disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Terdahulu, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga bekas penyandang kerusi DUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa, BN dan UMNO menampilkan ramai calon “kitar semula” yang disifatkan tidak mencerminkan aspirasi golongan muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Mohd. Puad, senarai calon UMNO itu juga didakwa gagal memenuhi tuntutan generasi baharu dalam parti berkenaan.
Dalam pada itu Mahdzir berkata, jentera pilihan raya di kawasan Sri Gading, Parit Raja, Parit Yaani dan Semerang kini berada dalam keadaan siap siaga.
Katanya, semua pusat daerah mengundi telah beroperasi dengan baik termasuk proses penghantaran bahan kempen yang menunjukkan kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi.
“Malah, pasukan dari Kedah turut hadir membantu jentera tempatan di Johor sebagai sebahagian usaha memperkukuh gerak kerja pilihan raya,” katanya. – MalaysiaGazette
















