SEGAMAT – Berbekalkan pengalaman dalam dunia perniagaan, pentadbiran kerajaan dan politik akar umbi, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Jalex Lee En Xiang tampil menawarkan kepimpinan berteraskan integriti dan idea baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Jalex, 34, berkata, kempen awalnya akan memberi fokus kepada usaha mendekati rakyat secara santai bagi membolehkan beliau mengenali sendiri denyut nadi masyarakat di kawasan itu.
Selesai selesai proses penamaan calon pada semalam, beliau memilih Taman Rekreasi Sungai Kapeh di sini sebagai lokasi kunjungan pertamanya bagi beramah mesra dengan penduduk sambil mempromosikan gaya hidup sihat.

Jalex Lee menyantuni pengunjung Taman Rekreasi Sungai Kapeh, di Segamat sebagai permulaan mendekati para pengundi.
Menurutnya, pendekatan turun padang dalam suasana santai memberi ruang kepada rakyat menyuarakan pandangan secara lebih terbuka sekali gus membolehkan beliau memahami keperluan sebenar masyarakat.
“Saya memilih Taman Rekreasi Sungai Kapeh untuk mempromosikan budaya hidup sihat di samping mengambil peluang berkenalan dan mendengar sendiri pandangan masyarakat.
”Saya percaya seorang wakil rakyat perlu sentiasa dekat dengan rakyat bukan hanya ketika musim pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, sebagai calon daripada generasi muda, beliau mahu membawa idea yang lebih segar dalam usaha membangunkan DUN Pemanis termasuk menghidupkan semula kawasan rekreasi, memperkasakan aktiviti komuniti dan mewujudkan lebih banyak peluang yang dapat menarik golongan belia untuk terus menetap serta membina masa depan di Segamat.
“Segamat khususnya Pemanis, mempunyai keunikan dan potensi yang besar. Saya mahu kawasan ini kembali aktif dan menjadi tempat yang mampu menarik orang muda untuk tinggal, bekerja dan menyumbang kepada pembangunan setempat,” katanya.
Mengulas penglibatannya dalam politik, Jalex berkata, beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2020 susulan episod Langkah Sheraton yang menurutnya menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem politik negara.
Katanya, peristiwa itu menjadi titik tolak kepada penglibatannya dalam politik kerana percaya Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang mempertahankan prinsip demokrasi, integriti dan mandat rakyat.
“DUN Pemanis sendiri pernah menjadi antara kawasan yang terkesan apabila wakil rakyat yang dipilih bertindak melompat parti.
“Saya mahu menawarkan politik yang menghormati mandat rakyat dan berpegang kepada prinsip integriti,” katanya.
Bukan calang-calang, Jalex mendapat pendidikan menengah di Omega International School dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam sebelum melanjutkan pengajian peringkat A-Level di Cambridge Tutors College, London pada 2009 hingga 2010.
Beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Sains Aktuari dari City University, University of London pada 2013 dan kini sedang mengikuti pengajian Sarjana Dasar Awam di Universiti Malaya.
Sebelum bergiat sepenuh masa dalam bidang politik, Jalex merupakan seorang ahli perniagaan dari tahun 2013 hingga 2022.
Bermula pada tahun 2022, beliau dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah yang memberinya pengalaman luas dalam pentadbiran, pengurusan dasar awam serta penyelesaian isu rakyat peringkat Parlimen.
Dalam parti pula, beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Bendahari PKR Cabang Pulai (2020–2022), Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pulai (2022–2025) sebelum dipilih sebagai Ketua AMK Cabang Tebrau bermula 2025.
Selain itu, bapa anak empat itu turut menganggotai Majlis Pimpinan AMK Malaysia sejak tahun lalu.
Di luar politik, Jalex aktif dalam pembangunan belia dan sukan apabila memegang jawatan Presiden Persatuan Amatur Gimnastik Johor sejak 2020 sekali gus memperlihatkan komitmennya dalam melahirkan generasi muda yang aktif dan berdaya saing.
Menurutnya anak jati Johor itu, gabungan pengalaman dalam sektor swasta, pentadbiran awam, kepimpinan politik dan penglibatan dalam NGO memberi keyakinan kepadanya untuk membawa suara rakyat Pemanis ke peringkat yang lebih tinggi sekiranya diberi mandat.
“Saya bermula sebagai ahli perniagaan, kemudian berkhidmat di pejabat ahli Parlimen dan turun padang menyelesaikan pelbagai isu masyarakat.
“Pengalaman itu mengajar saya bahawa pemimpin bukan sekadar membuat janji, tetapi perlu hadir bersama rakyat dan mencari penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, Jalex yang bertanding sebagai calon nombor tiga berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan.
Jalex berani menampilkan pendekatan santai bersama masyarakat dilihat mencerminkan hasrat untuk menawarkan kepimpinan generasi baharu yang dekat dengan rakyat.
Beliau komited memgang konsep berintegriti serta memberi penekanan kepada pembangunan belia, ekonomi setempat dan kesejahteraan komuniti. – MalaysiaGazette
















