KULAI – Calon Barisan Nasional (BN), R K Kumaran perlu mengemukakan bukti dakwaannya bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak menunaikan janji di daerah ini sepanjang empat tahun lalu.
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern berkata, Kumaran perlu memperincikan janji apa yang tidak ditunaikan dan bukan sekadar bercakap sahaja.
“Ini kena tanya beliau apa yang kata (dakwa) apa yang saya tidak buat, Sila beri bukti untuk rujukan, saya akan maklum (jelaskan) nanti,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita semasa melawat Akademi Badminton Jerung Kulai di Taman Manis di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Semalam selepas proses penamaan calon bagi DUN Bukit Batu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Kumaran berkata, BN tidak menjanjikan perkara yang bukan-bukan dalam PRN kali ini.
Jelasnya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat janji yang mampu ditunaikan dan bukan perkara mustahil.
“Kita tak mahu janji itu ini tetapi tidak boleh capai, rakyat akan marah. Kita tengok dulu dan sekarang. Empat tahun dahulu (Pakatan Harapan) buat janji tapi selepas empat tahun (jadi wakil rakyat) tiada janji pun yang dibuat,” katanya.
Ditanya mengenai maklum balas daripada rakyat semasa berkempen, Arthur yang juga Penyandang kerusi DUN Bukit Batu berkata, sambutan diterima sangat positif.
“Masuk hari kedua berkempen, sambutan positif dan saya sudah pergi ke pekan Bukit Batu, Kelapa Sawit dan Taman Kota Kulai. Sebenarnya kita sudah berkempen sejak sebelum penamaan calon lagi,” katanya.
Arthur akan bertemu Kumaran; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), M Premanand, 53, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), G Tamili, 30, dan calon Bebas, Datuk Kamaruzaman Ali, 63, dalam PRN kali ini.
Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.
Beliau menewaskan S Suppayah (BN) ya mendapat 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.- MalaysiaGazette
















