Ketua Biro Perundangan DAP Melaka, Mathan Anandaram

KUALA LUMPUR –  Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pendakwaan terhadapnya mengundang persoalan daripada DAP.

Ketua Biro Guaman DAP Melaka, Mathan Anandaram berkata, Dr Akmal sebelum ini secara terbuka menyatakan beliau tidak gentar berdepan pertuduhan dan bersedia mempertahankan dirinya di mahkamah, namun tindakan terbaharunya dilihat bercanggah dengan kenyataan tersebut.

“Jika benar beliau tidak gentar menghadapi pertuduhan dan yakin dengan pendiriannya, mengapa tidak membiarkan sahaja kes itu berjalan mengikut proses undang-undang jenayah?

“Bukankah mahkamah jenayah merupakan forum terbaik untuk menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan Mathan merujuk kepada tindakan Dr Akmal memfailkan permohonan semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara yang mengenakan pertuduhan jenayah terhadapnya berhubung satu hantaran di Facebook didakwa mencetuskan ketakutan awam, tahun lalu.

Dalam pada itu kata Mathan, beliau menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan semakan kehakiman kerana ia merupakan hak yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, daripada sudut persepsi awam, tindakan Akmal memilih saluran semakan kehakiman menimbulkan persoalan memandangkan beliau sebelum ini dilihat bersedia menghadapi proses perbicaraan.

“Adalah wajar untuk rakyat bertanya mengapa seseorang yang sebelum ini menyatakan kesediaan menghadapi pertuduhan kini memilih untuk mencabar keputusan tersebut melalui semakan kehakiman.

“Lebih-lebih lagi apabila kes jenayah berkenaan hampir selesai untuk diberikan keputusan,” ujarnya.

Beliau berkata, seseorang pemimpin politik perlu menunjukkan konsistensi antara kenyataan yang dibuat kepada umum dengan tindakan yang diambil di mahkamah.

“Sebagai seorang pemimpin politik, konsistensi antara kenyataan awam dan tindakan undang-undang adalah penting kerana ia melibatkan keyakinan rakyat terhadap integriti dan prinsip seseorang pemimpin,” jelas beliau.

Mathan turut menegaskan, beliau tidak mempertikaikan hak Dr Akmal untuk mendapatkan sebarang remedi undang-undang yang tersedia.

Sebaliknya persoalan dibangkitkan adalah mengenai mesej yang disampaikan kepada masyarakat apabila seseorang sebelum ini mendakwa tidak gentar menghadapi pertuduhan akhirnya mengambil langkah mencabar pendakwaan melalui semakan kehakiman.

Beliau berkata, proses keadilan sewajarnya dibiarkan berjalan mengikut saluran undang-undang tanpa sebarang gangguan.

“Biarlah mahkamah menjalankan fungsinya dan biarlah keadilan ditegakkan melalui proses undang-undang yang sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast