JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meningkatkan pemantauan rangkaian telekomunikasi di lokasi ceramah dan himpunan besar sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pihaknya menjangkakan penggunaan internet akan meningkat mendadak ketika program politik berlangsung.
“MCMC akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi memastikan rangkaian 4G dan 5G kekal stabil. Kami sentiasa bersedia, tidak kira program mana-mana parti politik.
“Sekiranya berlaku himpunan besar, MCMC akan memantau keadaan rangkaian supaya orang ramai tidak berdepan masalah capaian internet,” katanya pada sidang media di Pusat Media Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Beliau turut mengakui masih terdapat beberapa kawasan yang mengalami kelemahan liputan dan meminta orang ramai menyalurkan aduan melalui aplikasi MCMC Nexus.
“Melalui aplikasi ini kita boleh mengetahui lokasi sebenar, kekuatan isyarat dan syarikat penyedia perkhidmatan yang terlibat.
“Data peribadi pengguna tidak akan dikongsi sebaliknya hanya data teknikal berkaitan liputan internet digunakan untuk tujuan penambahbaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















