BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Senggarang, Onn Abu Bakar yakin pengundi khususnya golongan atas pagar akan memilih calon yang mampu meningkatkan kemudahan awam selain mengekalkan kestabilan politik pada pilihan raya negeri kali ini.
Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, meskipun hari kedua kempen dilihat perlahan, jentera Parti Keadilan Rakyat di bawah PH sebenarnya telah memulakan gerak kerja lebih awal sejak hampir sebulan lalu.
“Hari ini hari kedua kempen. Momentum nampak macam perlahan tetapi sebenarnya tidak. Kami daripada PH Keadilan sudah bergerak hampir sebulan lebih awal dan minggu ini kami akan masuk gear ketiga dan keempat untuk kempen.

“Saya yakin dengan kecenderungan pengundi terutama pengundi atas pagar, mereka akan memilih calon yang boleh membantu menaik taraf kemudahan awam di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan walkabout menyantuni pengundi di sekitar Banang Jaya hari ini.
Mengulas perjalanan kempen, Onn berkata, setakat ini, tiada sebarang gangguan seperti vandalisme terhadap bendera atau bahan kempen malah suasana disifatkannya lebih tenang berbanding pilihan raya terdahulu.
“Ini kali keempat saya bertanding dan hampir 20 tahun terbabit dalam politik. Kali ini agak luar biasa kerana kempen berlangsung dalam keadaan aman. Mudah-mudahan keadaan ini berterusan sehingga hari pengundian,” ujarnya.
Mengulas kerjasama antara PH dan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan tetapi bertembung di Johor, Onn mengakui ada pihak yang mungkin keliru namun percaya pengundi lebih mengutamakan kestabilan politik.
Menurutnya, masyarakat termasuk pengundi Melayu dan Cina di Batu Pahat mahukan suasana politik yang stabil bagi memastikan aktiviti ekonomi dan perniagaan dapat berkembang dengan baik.
“Kita memang kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan tetapi di Johor keadaannya berbeza. Saya yakin rakyat terutama di Batu Pahat mahukan politik yang stabil kerana ia penting untuk perniagaan dan pembangunan,” tambahnya.

Ditanya sama ada pengundi mempersoalkan mengapa beliau bertanding di DUN Senggarang walaupun merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn berkata, perkara itu tidak banyak dibangkitkan setakat ini.
“Mungkin mereka sudah ada jawapan sendiri kerana mereka mengikuti laporan media dan media sosial. Setakat ini saya belum berdepan soalan itu.
“Saya rasa mereka melihat tugas dan khidmat saya selama ini di kawasan Batu Pahat,” katanya. – MalaysiaGazette
















