BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan sokongan masyarakat Cina di kawasan berkenaan.
Difahamkan, rata-rata pengundi dalam kalangan masyarakat Cina di kawasan itu dianggarkan mencecah antara 85 hingga 90 peratus memberikan sokongan kepada Onn meskipun beliau berdepan saingan daripada bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon.
Pengundi DUN Senggarang, Boon Hai berkata, beliau mengenali Onn sejak pemimpin itu menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat dan menyifatkannya sebagai seorang wakil rakyat yang banyak membantu masyarakat setempat.
Menurutnya, antara sumbangan yang paling ketara ialah bantuan kepada sekolah-sekolah Cina dan rumah ibadat, termasuk tokong di sekitar Batu Pahat.
“Dari apa yang saya tahu, beliau memang banyak menyumbang kepada sekolah Cina dan tokong.
“Sumbangannya bukan sedikit, ada yang mencecah RM2,000, RM5,000, RM15,000 malah sehingga RM20,000,” katanya ketika ditemui pada program ceramah kelompok Onn di sini, malam tadi.

Beliau berpandangan, rekod perkhidmatan itu menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan pengundi terhadap calon PH berkenaan.
Mengulas peluang Onn di DUN Senggarang, Boon Hai berkata, laluan calon itu dilihat cerah walaupun mengakui wujud sedikit cabaran susulan penyertaan Rashid dalam pertandingan.
“Memang cerah, tetapi ada sedikit halangan kerana bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid, turut bertanding,” katanya.

Sementara itu, Boon Khai Sann dan Tan Chai Hoe turut berpendapat, sokongan masyarakat Cina di Batu Pahat ketika ini lebih cenderung memihak kepada Onn berdasarkan rekod khidmat beliau kepada komuniti setempat.
Mereka percaya faktor tersebut mampu memberi kelebihan kepada calon PH itu untuk meraih kemenangan di DUN Senggarang pada pilihan raya kali ini. – MalaysiaGazette
















