KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Persatuan PKS Malaysia) mahu Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melaksanakan dan menerbitkan satu Penilaian Impak Kawal Selia (RIA) yang komprehensif, sekiranya penilaian tersebut masih belum dijalankan, sebelum memuktamadkan kerangka pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing baharu (Turap).
Penilaian tersebut hendaklah meneliti implikasi kewangan, operasi dan kawal selia terhadap perusahaan, khususnya PMKS dan dapatan RIA juga wajar dikongsikan kepada pihak berkepentingan sebagai sebahagian daripada proses konsultasi yang telus bagi memastikan objektif dasar dapat dicapai tanpa mewujudkan kesan sampingan yang tidak diingini kepada sektor perniagaan.
Menurut persatuan ini, sekiranya majikan dikehendaki membayar fi penggunaan platform tersebut, kerajaan dicadangkan menanggung kos pembangunan dan pelaksanaan Turap sebagai sebahagian daripada pelaburan dalam infrastruktur digital negara.
Pada peringkat awal pelaksanaan, majikan sewajarnya hanya dikenakan fi pentadbiran yang minimum dan sebarang pelarasan
kadar fi pada masa hadapan hendaklah dilaksanakan secara berperingkat dan hanya selepas rundingan yang bermakna bersama pihak industri.
Menurutnya, pada masa ini ramai pengusaha PMKS kini beroperasi dengan margin keuntungan yang amat kecil dan sebarang kos tambahan akibat pelaksanaan Turap berpotensi memberi tekanan kepada aliran tunai, mengurangkan kapasiti pelaburan dan menjejaskan kelangsungan perniagaan.
Persatuan PKS Malaysia percaya pengambilan pekerja secara beretika merupakan matlamat yang dikongsi oleh semua pihak bagaimanapun, kos bagi mencapai matlamat tersebut tidak seharusnya ditanggung secara tidak seimbang oleh majikan tanpa penilaian menyeluruh terhadap implikasi ekonomi yang lebih luas.
“Sekiranya majikan dikehendaki membayar fi penggunaan platform tersebut, Persatuan PKS Malaysia mencadangkan agar kerajaan menanggung kos pembangunan dan pelaksanaan Turap sebagai sebahagian daripada pelaburan dalam infrastruktur digital negara. Pada peringkat awal pelaksanaan, majikan sewajarnya hanya dikenakan fi pentadbiran yang minimum.
“Sebarang pelarasan kadar fi pada masa hadapan hendaklah dilaksanakan secara berperingkat dan hanya selepas rundingan yang bermakna bersama pihak industri,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, aspek privasi data dan keselamatan siber juga perlu diberikan perhatian yang serius memandangkan Turap akan menguruskan maklumat peribadi yang sensitif, kontrak pekerjaan dan dokumen berkaitan imigresen.
Malah, kerajaan perlu memastikan wujudnya piawaian perlindungan data yang ketat, rangka kerja tadbir urus yang jelas serta sistem keselamatan siber yang kukuh bagi melindungi majikan dan pekerja daripada akses tanpa kebenaran, penyalahgunaan maklumat serta kebocoran data.
“Keberkesanan platform pengambilan pekerja yang dipacu AI juga bergantung kepadatahap kerjasama, kesiapsiagaan digital dan penyelarasan kawal selia negara-negara sumber. Tanpa kerjasama yang lancar antara Malaysia dengan negara asal pekerja, matlamat untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kebolehpercayaan sistem mungkin sukar dicapai sepenuhnya,” tambahnya.
Persatuan PKS Malaysia menambah, pihaknya mengiktiraf bahawa pelaksanaan Turap boleh memberi implikasi yang signifikan kepada agensi pengambilan pekerja swasta berlesen (Private Recruitment Agencies – PRAs) walaupun transformasi digital tidak dapat dielakkan.
Justeru, kerajaan disaran menyediakan pelan peralihan yang tersusun bagi meminimumkan gangguan kepada pemain industri yang sah di samping memastikan kesinambungan bekalan tenaga kerja negara.
Di samping isu Turap, Persatuan PKS Malaysia turut mencadangkan agar kerajaan mengamalkan pendekatan ‘Berunding, Menilai dan Melaksanakan’ bagi semua dasar utama yang memberi kesan secara langsung kepada sektor perniagaan.
Sebelum sesuatu dasar utama dilaksanakan, proses konsultasi yang menyeluruh bersama pihak berkepentingan hendaklah dijalankan dan disokong oleh RIA yang telus, analisis kos-faedah yang komprehensif serta tempoh pelaksanaan yang munasabah.
Pendekatan ini jelasnya, akan memberi ruang kepada perusahaan untuk membuat persiapan, menyesuaikan operasi dan mematuhi
keperluan baharu tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan atau membebankan majikan secara tidak wajar.
“Pendekatan sedemikian bukan sahaja mampu meningkatkan keberkesanan dasar, malah dapat memperkukuh kepercayaan, keyakinan dan kerjasama antara kerajaan dengan komuniti perniagaan.
“Memandangkan Turap merupakan antara pembaharuan paling signifikan terhadap sistem pengambilan pekerja asing negara, Persatuan PKS Malaysia berpandangan bahawa penglibatan pihak berkepentingan secara berterusan dan bermakna amat penting sepanjang proses pelaksanaannya.
“Majikan, persatuan PMKS, dewan perniagaan, agensi pengambilan pekerja berlesen, pertubuhan buruh serta wakil negara-negara sumber hendaklah dirunding secara aktif sebelum sebarang keputusan penting dimuktamadkan.
“Pendekatan ini akan membantu mengenal pasti cabaran pelaksanaan, menambah baik reka bentuk dasar, memperkukuh pelaksanaan serta meningkatkan keyakinan semua pihak terhadap sistem yang bakal diperkenalkan,” tegasnya.
Ia kerana, katanya, kejayaan Turap bukan sahaja bergantung kepada kecanggihan teknologi, juga kepada pelaksanaan yang praktikal, kos yang berpatutan, kerjasama erat bersama pihak berkepentingan serta dasar yang mampu mengimbangi perlindungan hak pekerja, jaminan bekalan tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette
















