Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Nabil Halimi.

JOHOR BHARU – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Muhammad Nabil Halimi menegaskan, pemilihan Menteri Besar tidak seharusnya dijadikan fokus utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini kerana pengalaman lalu membuktikan poster boy pilihan raya tidak semestinya dilantik menerajui kerajaan negeri.

Beliau berkata, dakwaan PH perlu menamakan calon Menteri Besar lebih awal hanyalah percaturan politik yang cuba mengalih perhatian daripada isu sebenar yang dihadapi rakyat.

“Mungkin Azleen sudah lupa bahawa poster boy Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor lalu juga akhirnya tidak menjadi Menteri Besar.

“Rakyat ketika itu memberikan mandat kepada BN yang diketuai Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar dan wajah utama kempen namun akhirnya Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik menerajui Johor.

“Jadi, jelas bahawa pilihan raya bukan sekadar memilih siapa Menteri Besar, tetapi memilih pasukan yang mempunyai kemampuan mentadbir negeri dengan baik,” katanya hari ini.

Menurut beliau, AMK senada dengan pendirian Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa PRN Johor perlu dilihat sebagai pertandingan antara dua pasukan yang menawarkan hala tuju terbaik untuk masa depan negeri.

“Yang lebih penting ialah pasukan mana mampu mengangkat martabat Bangsa Johor dari sudut ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan dan kesejahteraan sosial bukannya sekadar memainkan polemik siapa bakal Menteri Besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Nabil, rekod Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan komitmen PH dalam memacu pembangunan Johor melalui pelaksanaan projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta usaha menghidupkan semula Forest City sebagai hab ekonomi serantau.

“Kerajaan Madani telah meletakkan Johor sebagai antara destinasi pelaburan utama negara sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada anak muda.

“Hasil yang dinikmati kerajaan negeri hari ini juga tidak dapat dipisahkan daripada perancangan dan dasar ekonomi yang digerakkan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Beliau yakin gabungan calon berpengalaman dan profesional muda yang diketengahkan PH mampu menawarkan kepimpinan baharu kepada Johor.

“Insya-Allah, dengan kekuatan tokoh berpengalaman seperti Dr Maszlee Malik, Onn Abu Bakar, Ir Nazri Abdul Rahman, Mohd Khuzaan Abu Bakar, Ee Chin Li dan Suhaizan Kaiat.

”Disokong calon muda profesional seperti Faezuddin Puad, Danish Hossman, Jalex Lee, Feliciah Poh serta Ayna Soraya, kami yakin mampu menawarkan sebuah kerajaan negeri yang lebih segar, progresif dan berpandangan jauh.

“Inilah pasukan yang kami tawarkan kepada rakyat Johor untuk membawa kemakmuran ekonomi yang lebih seimbang dan pembangunan yang dapat dinikmati di seluruh negeri,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast